Pertumbuhan ekonomi Thailand perlahan
Perlaburan swasta, perbelanjaan awam lebih tinggi diperlukan untuk kekal kemampanan
Pertumbuhan ekonomi Thailand yang perlahan adalah disebabkan permintaan domestik rendah serta penangguhan pembangunan projek infrastruktur yang besar.
Pada kadar tahunan, ekonomi Thailand berkembang 4.3 peratus pada suku ketiga, peningkatan terbaik sejak suku pertama 2013, demikian menurut Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara.
Ia sekali gus mengatasi undian penengah Reuters, iaitu 3.8 peratus dan juga mengatasi unjuran tertingginya. Pertumbuhan tahunan bagi April hingga Jun disemak semula kepada 3.8 peratus, daripada 3.7 peratus.
Pertumbuhan suku tahunan
Mengikut suku tahunan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 1.0 peratus, diselaraskan pada Julai hingga September.
Ia mengatasi 0.75 peratus yang dicatatkan menerusi unjuran undian Reuters, namun masih berada paras lebih rendah berban- ding tempoh sebelumnya, yang disemak semula daripada 1.4 peratus kepada 1.3 peratus.
“Momentum pertumbuhan mula perlahan, namun, kekal kukuh untuk tiga suku berturut-turut,” kata ahli ekonomi Tisco Securities, Charnon Boonnuch.
Katanya, pertumbuhan suku tahunan dijangka berkurangan dalam tempoh akhir tahun, tetapi prospek 2018 dilihat masih kukuh.
Agensi perancangan itu mengkaji semula ramalan pertumbuhan 2017 kepada 3.9 peratus daripada 3.5 hingga 4.0 peratus yang dicapai pada Ogos, dan meramalkan paras 2018 pada 3.6 hingga 4.6 peratus.
Eksport tahun ini dilihat meningkat 8.6 peratus berbanding 5.7 peratus, walaupun nilai baht berada pada paras paling dalam tempoh dua tahun. Pada suku ketiga, eksport melonjak 12.5 peratus
“Permintaan luar menyumbang kepada peningkatan ekonomi. Bagaimanapun, kerajaan menjangkakan pertumbuhan eksport sederhana kepada 5.0 peratus tahun depan,” kata ANZ.
Pelaburan awam merosot
Perbelanjaan penggunaan kerajaan meningkat 2.8 peratus pada Julai hingga September tahun lalu, namun jatuh 4.1 peratus sejak tiga bulan lalu.
“Pelaburan awam merosot 2.6 peratus pada tahun ini disebabkan penangguhan beberapa projek pelaburan,” kata Pengerusi NESDB, Porametee Vimolsiri.
Katanya, perbelanjaan pelaburan awam dijangka meningkat 11.8 peratus tahun depan daripada 1.8 peratus yang diunjurkan tahun ini, kerana lebih banyak projek bernilai lebih 300 bilion baht (RM38.05 bilion) berada dalam proses pembidaan.
“Kami yakin pertumbuhan pada suku keempat kekal tinggi, membuatkan. kadar pertumbuhan tahun ini berada pada 3.9 peratus menghampiri 4.0 peratus tahun depan,” katanya.