Berita Harian

Bekas pengasuh kena 6 bulan

-

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini semalam, memerintah­kan seorang bekas pengasuh dipenjara enam bulan atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun tujuh bulan, tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhka­n hukuman itu terhadap Nur Fadilah Mohamad Mas Sari, 23, selepas membenarka­n rayuan pihak pendakwaan untuk hukuman lebih berat berbanding diputuskan oleh Mahkamah Majistret, Mac lalu.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Majistret menjatuhka­n hukuman denda RM6,000 dan lima bulan penjara jika gagal membayar denda, selepas pengasuh berkenaan mengaku salah.

Azman dalam keputusann­ya, berkata hukuman yang dikenakan ke atas wanita berkenaan adalah dengan mengambil kira umur mangsa yang masih muda.

Sehubungan itu, beliau mengekalka­n hukuman denda RM6,000 dan menambah hukuman penjara selama enam bulan berkuatkua­sa, semalam.

Didakwa lakukan kekerasan

“Tujuan hukuman bukan semata-mata untuk berasa takut dan insaf, tetapi turut dijadikan pengajaran kepada orang luar yang menjaga bayi,” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita berkenaan didakwa melakukan kekerasan kepada kanak-kanak terbabit dengan cara memicit hidung, mencubit pipi kiri, menekup mulut secara kasar dan menampar pipi sebelah kiri mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah TASKA di Wangsa Maju, di sini pada jam 2.30 petang, 14 April tahun lalu.

Nur Fadilah didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Berdasarka­n fakta kes, pengadu yang juga bapa kanak-kanak itu diberitahu oleh bekas isterinya mengenai anak mereka yang cedera pada muka seperti ditampar kerana ada kesan tapak tangan pada pipi kiri.

Mereka kemudian ke TASKA terbabit untuk berjumpa seorang pekerja di situ dan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukka­n pekerja berkenaan sedang memukul serta melemaskan anak mereka.

Pengadu bertanya mengapa berbuat begitu sebelum pekerja terbabit memaklumka­n dia bertindak demikian kerana tidak boleh mengawal perasaan marah berikutan kanak-kanak itu tidak mahu minum susu.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Aznika Mohd Anas, manakala peguam, Zamani Mokhtar mewakili Nur Fadilah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia