Berita Harian

Kastam sita 150,000 kotak rokok seludup

Rampasan diisytihar barangan am bagi elak cukai RM2.1 juta

- Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), merampas 150,000 kotak rokok yang dipercayai dibawa masuk dengan mengelak daripada dikenakan cukai berjumlah RM2.1 juta.

Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Datuk Abdullah Jaapar, berkata rampasan itu dibuat dalam operasi pada jam 6 petang, 13 November lalu di Kompleks MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Katanya, kejayaan itu hasil risikan pasukan berkenaan selama dua minggu sebelum siasatan mendapati rokok bernilai RM240,000 yang diisytihar sebagai barangan am dan pelbagai, dibawa masuk dari Lapangan Terbang Ho Chi Minh, Vietnam.

Dibawa masuk tanpa prosedur pengimport­an sah

“Ketika serbuan, rokok itu baru sahaja melepasi proses dokumentas­i di terminal kargo. Semua rokok kemudian disita kerana dipercayai diimport tanpa melalui prosedur pengimport­an sah.

“Siasatan lanjut terhadap sebuah syarikat tempatan yang membawa masuk rokok itu pula mendapati ia tidak wujud dan hingga kini masih mengesan sindiket yang terbabit,” katanya di sini, semalam.

Abdullah berkata, rokok itu dipercayai untuk pasaran tempatan yang ketika ini mendapat permintaan tinggi, kerana lebih murah iaitu sekitar RM7 hingga RM8 sekotak.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, yang jika sabit kesalahan boleh didenda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barangan yang disita atau penjara tidak lebih tiga tahun atau keduaduany­a sekali.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludup­an seperti rokok, dadah, minuman keras dan mercun diminta menghubung­i talian bebas tol 1-800-88-8855,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia