Berita Harian

Tarif air Pahang kekal walaupun kos operasi meningkat

PAIP perlu RM23 juta setiap bulan tanggung pengurusan, penyaluran

- Oleh Amin Ridzuan Ishak dan Nurul Nadira Shaari

PAIP hanya mengaut pendapatan RM13 juta, bermaksud kita kurang RM10 juta setiap bulan dan perlu bayar RM9 juta kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menggerakk­an loji sedia ada, tidak termasuk kos pengurusan seperti gaji” Mohd Soffi Abd Razak, Pengerusi Jawatankua­sa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang

Keprihatin­an Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob antara faktor tarif air di negeri ini dikekalkan walaupun berlaku peningkata­n kos operasi yang memerlukan RM23 juta sebulan.

Pengerusi Jawatankua­sa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak, berkata Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memerlukan puluhan juta sebulan untuk operasinya, termasuk pengurusan dan penyaluran bekalan.

“PAIP hanya mengaut pendapatan RM13 juta, bermaksud kita kurang RM10 juta setiap bulan dan perlu bayar RM9 juta kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menggerakk­an loji sedia ada, tidak termasuk kos pengurusan seperti gaji.

“Namun atas keprihatin­an Menteri Besar, tarif air dikekalkan, beliau tidak mahu menaikkann­ya,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Khairuddin Mahmud (Bn-pulau Manis) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Kenal pasti bekalan air dinaik taraf

Sementara itu, Mohd Soffi berkata, dakwaan ada paip air sengaja dipecahkan sehingga pengguna tidak mendapat bekalan air tetapi terpaksa juga membayar bil, adalah tidak benar.

Kepada soalan asal Lee Chin Chen (Dap-ketari), beliau berkata, PAIP sudah mengenal pasti saluran bekalan air yang perlu dinaik taraf dan memohon kepada Kementeria­n Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengikut keutamaan.

Mengenai kerja baik pulih paip pecah, katanya, PAIP ada 31 pasukan di setiap daerah untuk tujuan itu dan setakat ini, setiap kejadian paip pecah yang menyebabka­n gangguan bekalan, diselesaik­an dalam tempoh 24 jam.

Dalam isu lain, Adnan ketika menjawab soalan Datuk Abd Aziz Mat Kiram (Bn-batu Talam), berkata Pahang mempunyai kawasan hutan tadahan air seluas 258,951.88 hektar, diwartakan mengikut Seksyen 10(1)(e) Akta Perhutanan Negara 1984. “Mengikut kajian Sumber Air Negara 2000-2050, sumber air di negeri ini masih mencukupi, tiada keperluan mencari sumber baharu.

“Dua empangan baharu juga sudah siap, iaitu Empangan Chereh di Kuantan dan Empangan Kelau di Raub,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Syed Hamid Syed Mohamed (Parti Amanah Negara-kuala Semantan), beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah menerima pulangan daripada Kerajaan Pusat kerana menyediaka­n kawasan tadahan air.

“Setakat ini tiada bayaran yang diterima kerana menyediaka­n kawasan tadahan air. Kita pun tak minta bayaran, tapi kalau mereka (Kerajaan Pusat) bayar, kita tidak marah,” katanya.

Kepada soalan tambahan Sim Chon Siang (Pkr-teruntum), Menteri Besar berkata, kerajaan negeri tidak berhasrat menubuhkan tabung khas bencana sendiri seperti Tabung Darul Iman yang diwujudkan di Terengganu.

 ?? [FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG/BH] ?? Adnan ketika menjawab soalan pada sidang DUN Pahang di Kuantan, semalam.
[FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG/BH] Adnan ketika menjawab soalan pada sidang DUN Pahang di Kuantan, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia