Berita Harian

Ketiadaan Buffon, Barzagli bawa malang

-

Milan: Selepas Itali gagal layak ke Piala Dunia, ketua pasukan, Gianluigi Buffon dan pertahanan Andrea Barzagli direhatkan daripada pertembung­an menentang Sampdoria yang menyaksika­n Juventus tewas 3-2, kelmarin.

Dua gol daripada Gonzalo Higuain dan pemain gantian, Paulo Dybala gagal menafikan kemenangan Sampdoria yang meraih tiga jaringan menerusi Duvan Zapata, Lucas Torreira dan Gian Marco Ferrari.

Keputusan itu menyaksika­n Juventus jatuh ke tangga ketiga Serie A, di belakang pendahulu, Napoli yang menang 2-1 ke atas AC Milan, manakala Inter Milan melonjak ke tangga kedua selepas turut meraih kemenangan 2-0 ke atas Atalanta.

Selepas 13 perlawanan, Napoli kini unggul di puncak liga dengan mengumpul 35 mata, lebih dua mata berbanding Inter.

Masalah itu bagaimanap­un bakal diatasi menjelang perte- muan menentang Barcelona pada saingan Liga Juara-juara di Stadium Allianz, Khamis ini.

Sukar dijelaskan

“Kami menghadapi tamparan yang tidak dijangka,” kata jurulatih Juventus, Massimilia­no Allegri.

“Perlawanan seperti ini antara perkara yang boleh berlaku sekali dalam setahun. Ia satu perlawanan yang sukar untuk dijelaskan dan ia sesuatu yang mengejutka­n.”

Pada perlawanan itu, Allegri mengambil risiko apabila merehatkan Buffon dan Barzagli serta meletakkan Dybala di bangku simpanan.

“Buffon dan Barzagli sedang berada dalam kekecewaan. Selepas 15 hari bersama skuad kebangsaan, tekanan pasti tinggi dan ini adalah masa untuk berehat.

“Inilah bola sepak dengan satu lagi drama. Tetapi kami tahu bagaimana untuk bangkit.” AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia