Berita Harian

‘Kena tunggu 10 tahun lagi’

De Roo harap perubahan ekosistem bola sepak negara dilakukan segera

- Oleh Firdaus Hashim

Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Peter De Roo berpendapa­t, wajah bola sepak Malaysia memerlukan satu transforma­si secara besar-besaran dengan semua pihak perlu bersatu hati untuk merealisas­ikan misi itu.

Jelas De Roo, beberapa perubahan besar dalam ekosistem bola sepak tempatan mesti dilakukan mulai sekarang demi kejayaan pada masa hadapan.

“Bagi mencapai kejayaan berdasarka­n visi dan reka bentuk lebih daripada nasib, beberapa perubahan besar perlu dilakukan dalam bola sepak Malaysia.

“Tidak semua orang sukakan perubahan! Perubahan membuatkan kita berasa tidak selesa dan secara semulajadi­nya kita tidak mahu menjadi tidak selesa. Kita mahu kekal di mana kita berada dan menjaga apa yang kita ada.

“Perubahan juga sering bermaksud kehilangan muka bagi sesetengah orang atau orang itu takut mereka mungkin kehilangan kawalan. Ia sudah tentu bermakna lebih banyak kerja untuk kita semua. Secara semula jadi, inilah perkara-perkara yang kita takutkan,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook FAM.

Ambil masa

“Ia memang akan mengambil masa. Negara yang mencapai kejayaan dari segi keputusan kebelakang­an ini dan membangunk­an pemain terkemuka seperti Jerman dan Belgium misalnya, sudah mula membuat perubahan dasar sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum itu.

“Negara ini sudah mempunyai infrastruk­tur dan jurulatih, mereka hanya melaksanak­an keseragama­n di seluruh negara cara bermain dan membangunk­an pemain-pemain muda. Kita perlu melakukan lebih daripada itu,” katanya yang dilantik FAM pada Julai lalu.

Malah, beliau juga menegaskan perubahan yang dilakukan perlu bermula dari dalam sebuah organisasi.

“Sebab itulah perubahan sentiasa harus dimulakan daripada pihak tertinggi dalam organisasi dan ia sudah tentu sebab utama mengapa saya membuat keputusan untuk menerima jawatan sebagai Pengarah Teknikal FAM beberapa bulan yang lalu,”katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia