Projek awam RM100 juta ke atas wajib guna BIM
projek awam yang bernilai RM100 juta dan ke atas diwajibkan menggunakan sistem Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) mulai 2019, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, penggunaan BIM akan meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kualiti keseluruhan proses pembinaan, di samping mengurangkan kos pembinaan dan mengelakkan masalah reka bentuk dalam fasa perancangan.
“BIM membolehkan semua pihak yang terbabit dalam projek itu untuk menvisualisasikan, mengkoordinasikan dan menganalisis ciri fizikal dan fungsi utama setiap elemen sebelum pembinaan bermula.
“Ia juga berupaya membantu pihak pemaju mencapai sasaran menyiapkan bangunan dalam kualiti ditetapkan dan mengelak daripada berlaku perubahan kontrak,” katanya ketika merasmikan Pusat MYBIM di Kuala Lumpur, semalam.
Fadillah berkata, kerajaan sedang mempertimbang untuk menggunakan BIM bagi membina empat hospital awam yang memerlukan perancangan terperinci dan kos yang tinggi.
Lancar Pusat MYBIM
“Pembinaan hospital tidak seperti bangunan lain. Ia memerlukan koordinasi di antara pemasangan peralatan perubatan dan keselamatan terperinci yang mana penggunaan BIM amat diperlukan untuk menepati ciri bangunan hospital.
“Antara kejayaan penggunaan BIM dalam projek kerajaan ialah pembinaan Institut Kanser Negara, Putrajaya yang diseliakan Jabatan Kerja Raya dan disiapkan dalam masa dan dengan kos ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Fadillah berkata, Pusat MYBIM akan bertindak sebagai pusat rujukan untuk penggunaan sistem BIM, termasuk menjadi pusat latihan untuk pemaju, kontraktor, perunding dan pembekal BIM.
Pusat MYBIM adalah pusat sehenti berperanan sebagai tempat rujukan untuk mempromosi dan meningkatkan penggu- naan sistem BIM dalam penggiat industri pembinaan.
Labur RM3 juta
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid, berkata dengan pelaburan RM3 juta, pusat itu membolehkan peserta industri membuat model dan melihat projek pembangunan dalam simulasi menggunakan BIM.
“Sistem BIM adalah teknologi pemodelan untuk menghasilkan, menghubung dan menganalisis maklumat digital model sepanjang perkembangan projek pembinaan.
“Kemampuan menganalisis ciri fizikal setiap elemen secara maya sebelum kerja pembinaan bermula membantu meningkatkan keberkesanan dan kualiti serta produktiviti keseluruhan proses pembinaan,” katanya.
Pusat MYBIM menyediakan kemudahan, peralatan dan perisian merangkumi bilik seminar dengan sistem audio visual yang lengkap bagi program latihan serta akreditasi kemahiran.