Untung bersih UEM Sunrise naik dua kali ganda
UEM Sunrise Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM242.4 bilion bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2017, meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM94 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Pendapatannya dalam tempoh dikaji meningkat kira-kira 77 peratus kepada RM2.155 bilion, berbanding RM1.216 bilion yang dicatatkan sepanjang tempoh sama 2016.
Aktiviti pembangunan hartanah menyumbang 74 peratus daripada pendapatan keseluruhan syarikat sepanjang tempoh berkenaan.
Penyumbang terbesar adalah Aurora Melbourne Central di Australia disusuli oleh Residensi22 Mont‘kiara di Kuala Lumpur dan projek Conservatory di Australia.
Projek di wilayah tengah menjadi penyumbang tertinggi, iaitu 38 peratus daripada hasil pembangunan hartanah, diikuti 36 peratus daripada projek antarabangsa dan 26 peratus lagi daripada wilayah selatan.
Pendapatan daripada pelupusan tanah menyumbang 23 peratus daripada pendapatan keseluruhan, terutama daripada penjualan tanah di Richmond, Kanada yang diselesaikan pada akhir September lalu, demikian menurut syarikat dalam satu kenyataan, semalam.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata prestasi kewangan syarikat sejak sembilan bulan lalu adalah dalam laluan peningkatan sejak suku pertama lagi, dipacu oleh perkembangan pembinaan daripada projek tempatan dan antarabangsa, inisiatif mencairkan inventori dan pelupusan strategik tanah di Richmond, Kanada.
“Dengan penyiapan projek Teega di Puteri Harbour, Arcoris Mont‘kiara, selain pangsapuri Bayu Angkasa di Iskandar Puteri yang baru saja diserahkan, kami dalam laluan untuk menyerahkan projek Residensi22 Mont‘kiara sebelum akhir tahun dan Estuari Gardens di Puteri Harbour menjelang suku kedua 2018,” katanya.