Abdul Wahid penerima pertama Myvi baharu
Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar menjadi pelanggan pertama menerima kereta kompak Perodua Myvi serba baharu yang dilancarkan, Khamis lalu.
“Sebagai Pengerusi Kumpulan PNB, saya berbesar hati menjadi pelanggan pertama membuat tempahan dan menerima penghantaran pertama Myvi serba baharu pagi Jumaat,” kata Abdul Wahid.
Setakat jam 8 malam 17 November lalu, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) sudah menerima 6,000 tempahan, manakala Myvi mula diserahkan seawal 8 pagi hari yang sama.
Kereta kompak paling diminati di Malaysia dibuka untuk tempahan bermula 9 November lalu.
“Rekaan menarik pereka tempatan dan jurutera PERODUA, selain Myvi serba baharu ini memiliki ciri termaju yang hanya dimiliki pada kereta premium. Ia juga mendapat penarafan keselamatan 5-bintang ASEAN NCAP,” kata Abdul Wahid.
PNB bangga pencapaian PERODUA
Penarafan keselamatan 5-bintang ASEAN NCAP secara rasminya dianugerahkan kepada Myvi serba baharu pada 16 November.
“PNB berbangga dengan pencapaian PERODUA sebagai sebuah syarikat penerima pelaburan kami. PERODUA sememangnya layak menerima status syarikat kereta nasional,” tambah Abdul Wahid.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, berkata: “Kami berterima kasih kepada rakyat Malaysia, kerajaan dan pihak berkepentingan yang memberi sokongan padu kepada Myvi”.
Jumaat lalu, tiga pemenang utama Peraduan ‘Myvi 12 Iconic Years Anniversary SMS & Wincontest’ juga menjadi penerima pertama apabila membawa pulang Myvi 1.5 Advance bernilai RM55,300.
Tiga pemenang berkenaan ialah Chin Mei Ling, 26; Mohd Nazmil Mohd Nasir, 33; dan Ong Kok Seng, 60.
“Kami mengekalkan komitmen untuk menghantar Myvi sepantas mungkin kepada pelanggan kami,” jelas Aminar Rashid.