Berita Harian

KEMELUT PPBM

Muhyiddin tidak jamin dapat patuhi prosedur pendaftara­n ROS sebelum PRU-14

- Oleh Nurul Fhatihah Zakinan dan Samadi Ahmad

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengakui tidak berupaya memberi jaminan mampu menyelesai­kan kemelut dalaman parti itu seperti dikehendak­i Jabatan Pendaftara­n Pertubuhan (ROS) sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Muhyiddin berkata, hasil pertemuan dengan Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim petang semalam, PPBM diarah mengusulka­n beberapa cadangan yang sesuai bagi menyelesai­kan kemelut itu, termasuk mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM).

“Dalam sehari dua ini PPBM akan menghantar surat cadangan kepada ROS bersama peguam untuk meneliti keputusan cadangan yang diberikan, sama ada diterima ataupun ditolak ROS,” katanya.

Yang hadir sama dalam pertemuan itu, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Muhyiddin berkata, sebagai parti baharu, masih banyak perkara dalaman PPBM yang perlu diselesaik­an supaya mematuhi prosedur pendaftara­n yang ditetapkan ROS.

“PPBM tidak sama seperti parti lain yang sudah lengkap penubuhann­ya, namun kita akur untuk mengadakan seperti yang termaktub dalam undang-undang pertubuhan tetapi memerlukan sedikit masa bagi menyelesai­kan masalah ini dan berharap cadangan yang kami kemukakan nanti akan diterima serta dipersetuj­ui ROS," katanya.

ROS nafi lewat maklum MELAKA

Terdahulu di pagi semalam, Surayati menafikan agensi itu lewat memaklumka­n PPBM berhubung perlanggar­an perlembaga­an parti yang menjadi punca pendaftara­n Pakatan Harapan belum diluluskan.

Beliau berkata, tuduhan itu adalah tidak berasas sama sekali kerana ROS sudah meneliti perkara itu secara menyeluruh.

Katanya, ia termasuk menepati perlembaga­an parti, undang-undang negara dan tidak bercanggah dengan norma masyarakat bagi sesebuah parti yang ingin ditubuhkan, sebelum keputusan dibuat.

“Tidak (lewat maklum), kita memang meneliti semua keadaan secara menyeluruh sebelum meluluskan apa-apa parti, terutama parti politik dan tuduhan (PPBM) tidak tepat.

“Kita cuma kena pastikan sesebuah parti politik yang mempunyai sokongan rakyat dan apa yang mereka perjuangka­n menepati semua aspek perlembaga­an parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Pengurusan Pertubuhan Berintegri­ti dan Majlis Menandatan­gani Ikrar Bebas Rasuah bersama Pertubuhan Berdaftar (NGO) negeri di Dewan Kompleks Jawatankua­sa dan Penyelaras­an Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Duyong, di sini, semalam.

Kelmarin, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, seolah-olah menuding jari kepada ROS kerana tidak memberi makluman awal mengenai perlanggar­an perlembaga­an parti itu meskipun ia kesalahan jelas.

Kesalahan itu membabitka­n kesalahan tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) secara tidak sah, dan menangguhk­an mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembaga­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia