Berita Harian

Ambulans kita musnah dalam serangan di Syria

-

Kuala Lumpur: Enam ambulans, termasuk sebuah yang disumbangk­an oleh rakyat Malaysia menerusi Konvoi Ambulans Perpaduan ke Syria (Unity Convoy), musnah dalam serangan udara di Idlib, Syria, Jumaat lalu.

Serangan udara di wilayah bergolak yang mempunyai 700,000 pelarian dalaman di Syria itu turut menyebabka­n dua rakyat tempatan, termasuk seorang pegawai perubatan terkorban, selain 10 lagi petugas perubatan cedera.

Koordinato­r Serantau Unity Convoy, Muaz Ruslan, berkata ambulans Malaysia dengan nama B9 itu antara 100 ambulans dihantar ke Syria melalui konvoi ambulans merentasi lima negara, bermula dari United Kingdom pada April lalu.

Katanya, ambulans B9 antara tujuh ambulans tajaan rakyat Malaysia melalui pertubuhan

(MLL4S), Tangisan Syria di Bumi Jordan (TSDBJ) dan Pertubuhan Sukarelawa­n Muslim Malaysia (MVM).

“Kami mengutuk serangan ke atas orang awam dan kemudahan perubatan yang juga komponen penting untuk rakyat Syria yang terkesan dari peperangan ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Konvoi terbesar

Konvoi ambulans terbesar ke Syria yang merentasi lebih 3,700 kilometer perjalanan darat dan laut itu turut disertai wakil Global Peace Mission (GPM0 Malaysia, Humanity Heroes dan Affin Islamic Bank serta wartawan BH sebelum ini.

Ambulans B9 itu dipandu pasukan media konvoi Malaysia terdiri daripada wartawan BH dan dua wakil media Malaysian Life Line For Syria sehinggala­h dibawa masuk dan beroperasi di wilayah konflik Idlib pada Jun lalu.

Laporan BBC pada Jun lalu juga mengetenga­hkan bagaimana ambulans sumbangan rakyat Malaysia itu digunakan untuk menyelamat­kan nyawa mangsa peperangan di Syria kurang 24 jam selepas berjaya memasuki wilayah Idlib.

Konvoi ambulans perpaduan itu adalah inisiatif gabungan badan amal seluruh dunia yang diterajui badan kemanusiaa­n dari UK untuk membantu pelarian Syria yang terkesan dengan konflik perang saudara sejak Mac 2011.

Ketua Pegawai Eksekutif MLL4S, Syahrir Azfar Salleh dalam kenyataan sama berkata pihaknya, MVM dan Bonyan (Turki) melancarka­n kempen musim sejuk dengan sasaran dana RM1 juta untuk membantu pelarian Syria.

“Dana ini nanti akan digunakan untuk keperluan asas seperti kit musim sejuk dan bantuan perubatan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh melayari laman Facebook Malaysian Life Line For Syria atau MVM.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia