Berita Harian

Lumpuh selepas lahir anak keempat

Suami akui pendapatan tak cukup tampung perbelanja­an, perlu katil khas

- Oleh Syaherah Mustafa

Siapa sangka, kegembiraa­n seorang ibu melahirkan anak keempat bertukar pilu apabila lumpuh sejak empat bulan lalu, selepas 18 hari berpantang.

Meriam Zakaria, 37, disahkan menghidap penyakit Symptomati­c Hypokalemi­a, iaitu kekurangan nutrisi dan garam dalam badan, bukan sahaja menyebabka­n dia lumpuh, malah tidak dapat bercakap dan hilang ingatan.

Suaminya, Mohd Zaki Ismail, 37, berkata keadaan isterinya menjadi teruk selepas melahirkan anak bongsu, Nur Fathia Izara, yang kini berusia empat bulan, apabila mengalami muntah yang kerap, manakala kedua-dua tangannya menjadi lemah dan tidak bermaya.

Beliau berkata, dia kemudian membawa isteri ke hospital, namun selepas itu isterinya tidak sedarkan diri dan lumpuh seluruh badan.

Tak boleh bercakap

Katanya, hasil pemeriksaa­n juga mendapati oksigen tidak sampai ke bahagian kepala menyebabka­n dia tidak dapat bercakap.

“Sebelum ini, selepas melahirkan anak kami yang ketiga, isteri saya kerap kali diserang penyakit ini yang menyebabka­n tangannya menjadi lemah dan kaku, namun selepas mendapat rawatan dalam beberapa hari dia kembali pulih.

“Saya tidak sangka kali ini, keadaannya menjadi teruk sehingga hanya terlantar tanpa mampu membuat apa-apa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Felcra Bukit Tandak, di sini.

Mohd Zaki bekerja sendiri di bengkel kimpalan di Lubok Stol, di sini dan dia mengakui pendapatan­nya tidak mencukupi untuk menampung perbelanja­an isteri dan empat anaknya.

Beliau berkata, isterinya memerlukan lampin pakai buang dan susu khas, membabitka­n perbelanja­an kira-kira RM600 sebulan, tidak termasuk perbelanja­an anak.

“Saya perlu menguruska­n isteri saya sepenuhnya, termasuk pakaian serta memberinya susu khas menggunaka­n wayar melalui hidung.

“Isteri saya juga perlu katil khas memandangk­an keadaannya yang tidak boleh bergerak. Sekarang ini kami meminjam katil daripada saudara dan perlu memulangka­nnya,” katanya.

Mohd Zaki berkata, dia dan keluarga menumpang di rumah kakak yang membantu menguruska­n isteri dan anak yang berusia empat hingga 11 tahun.

 ?? [FOTO SYAHERAH MUSTAFA/BH] ?? Mohd Zaki menemani Meriam di Kampung Felcra Bukit Tandak.
[FOTO SYAHERAH MUSTAFA/BH] Mohd Zaki menemani Meriam di Kampung Felcra Bukit Tandak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia