Berita Harian

Berkebun jadi terapi jauhi dadah

Penghuni CCSC AADK Alor Gajah majukan kebun atas tanah terbiar

- Oleh Fairuz Zaidan

Siapa sangka tanah rizab terbiar di belakang premis Pusat Khidmat Pulih dan Rawat (CCSC) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Alor Gajah, di sini, boleh berubah menjadi sebuah kebun komuniti berkonsepk­an ‘urban farming’.

Dahulunya penuh dengan semak-samun, kini kawasan seluas setengah hektar itu dibangunka­n sendiri oleh 10 penghuni (klien) CCSC Alor Gajah dengan pelbagai tanaman kontan termasuk sayursayur­an hijau, tanaman pisang, cili padi, terung, serai, kentang dan buah-buahan.

Malah, sebaik memasuki pintu masuk ke kebun komuniti CCSC Alor Gajah, pengunjung pasti terpegun dengan rimbunan tanaman kampung seperti daun kunyit, daun kesum, serai, daun pandan, ulam raja, pegaga dan pelbagai tanaman herba lain.

Jana pendapatan lumayan

Ketua Pegawai AADK Alor Gajah, Noralizah Kasmin, berkata pengalaman­nya sebelum ini selaku Ketua Unit Latihan dan Vokasional di Pusat Serenti Jelebu, Negeri Sembilan, secara tidak langsung membuka ruang untuk mengubah CCSC Alor Gajah dengan pelbagai aktiviti sampingan berbentuk latihan dan vokasional.

“Sebaik bertugas di CCSC Alor Gajah mulai September 2013, saya lihat ada banyak aktiviti boleh dibuat untuk klien. Melihat tanah terbiar di belakang pusat khidmat ini, saya minta klien supaya diwujudkan kitchen garden menerusi tanaman daun pandan, serai, daun kunyit dan daun kesum,” katanya di CCSC Alor Gajah, di sini.

Noralizah berkata, projek awal peserta CCSC Alor Gajah itu mendapat perhatian Majlis Perbandara­n Alor Gajah (MPAG) yang melakukan rondaan sebelum mengesyork­an supaya membuat kertas kerja kepada Yang Dipertua MPAG, Datuk Murad Husin untuk memajukan tanah terbiar.

Malah, katanya, MPAG bersama Jabatan Pertanian Melaka turut sepakat menyediaka­n peralatan dan peruntukan bagi menjayakan kebun komuniti itu melalui program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang terbukti berhasil menjana pendapatan lumayan.

“Di CCSC Alor Gajah, kita sentiasa menerapkan pendekatan secara sukarela. Malah, selama tiga hingga enam bulan mereka di sini, program pertanian ini antara yang diterapkan sebagai sebahagian daripada terapi minda untuk menghindar­kan mereka daripada terbabit najis dadah,” katanya.

 ?? [FOTO RASUL AZLI SAMAD/BH] ?? Noralizah memantau aktiviti berkebun penghuni CCSC Alor Gajah.
[FOTO RASUL AZLI SAMAD/BH] Noralizah memantau aktiviti berkebun penghuni CCSC Alor Gajah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia