Berita Harian

Dua pemuda mengaku salah sertai Daesh di Syria

-

Kuala Lumpur: Dua pemuda yang mengaku bersalah cuba menyertai jihad di Syria, dinasihati Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah, supaya mencari pahala secara berbakti menunaikan tanggungja­wab sebagai anak kepada ibu bapa masing-masing.

Dalam penghakima­nnya ketika menjatuhka­n hukuman, Azman menegaskan ideologi kumpulan pengganas Daesh yang cuba disertai mereka bukan saja mempengaru­hi masyarakat tetapi boleh menjadikan negara yang aman porak peranda.

“Jaga keluarga kamu, itu jihad paling besar. Beri duit kepada ibu bapa pun boleh masuk syurga.

“Tak perlu berjihad sampai ke Syria atau mana-mana negara bergolak untuk masuk syurga,” katanya.

Tertuduh pertama, juruteknik, Mohd Ridwan Mohd Muda, 30, sebak dan hanya mengesat air matanya sepanjang penghakima­n dibacakan Azman dan mitigasi yang dibuat oleh peguam belanya, Mohd Hezri Shaharil.

Terdahulu, Azman menjatuhka­n hukuman penjara lapan tahun terhadap Mohd Ridwan dan Zulfadhli Jafri, 25, yang bekerja di sebuah stesen minyak selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan didakwa cuba pergi Syria dengan menaiki kereta api dari stesen kereta api Padang Besar ke Bangkok, Thailand.

Mereka seterusnya didakwa menaiki penerbanga­n Gulf Air (GF153 dan GF045) menuju ke Turki dengan niat pergi ke Syria dan dalam percubaan itu, mereka ditahan selepas tiba di Turki bagi maksud melakukan suatu perbuatan pengganas di Syria.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Imigresen Padang Besar, pada jam 2.46 petang, 23 Oktober 2016.

Hukuman penjara bagi kedua-dua tertuduh itu berkuatkua­sa dari tarikh mereka ditangkap, pada 30 Oktober 2016.

Rayu hukuman ringan

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak lebih daripada setengah dari tempoh maksimum 30 tahun dan denda.

Terdahulu, Hezri dalam rayuan memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman ringan atas alasan tertuduh masih muda dan layak diberi peluang kedua.

Zulfadhli yang tidak diwakili peguam bela, memohon supaya diberikan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Berdasarka­n fakta kes, keduadua lelaki itu ditahan polis di KLIA, Sepang selepas dihantar pulang oleh pihak berkuasa Turki.

Hasil siasatan mendapati mereka menaiki kereta api dari stesen Padang Besar ke Bangkok, Thailand dan seterusnya menaiki penerbanga­n Gulf Air ke Turki dan tiba di negara itu pada 29 Oktober 2016, jam 1.05 pagi, namun ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Atartuk, Turki dan dihantar pulang ke Malaysia pada hari yang sama.

Siasatan lanjut mendapati mereka berniat untuk berjihad dan mati syahid di Syria, selain didapati menerima sejumlah RM5,000 daripada seseorang atas arahan anggota pengganas militan yang dikenali sebagai Wanndy.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia