Berita Harian

Melestari alam sekitar tanggungja­wab bersama

-

Dalam era globalisas­i ini, krisis alam sekitar semakin mendapat perhatian masyarakat. Di Malaysia, antara pencemaran alam sekitar yang sering berlaku adalah kepupusan flora dan fauna, pemanasan global, pencemaran udara, pencemaran air, perubahan iklim dan pencemaran sampah-sarap.

Kesedaran masyarakat terhadap alam sekitar masih rendah, walaupun pelaburan besar dikeluarka­n bagi melaksanak­an pelbagai program dan kempen kesedaran. Alam sekitar penting untuk manusia, haiwan ataupun tumbuhtumb­uhan. Semua spesies berhak hidup di alam flora dan fauna serta mempunyai tanggungja­wab masing-masing dalam memulihara alam sekitar.

Ramai sedar, tidak sepatutnya berlaku pencemaran alam sekitar, namun tindakan kita tidak selari dengan pemikiran. Kita tidak membuat sesuatu untuk melambangk­an penghargaa­n terhadap alam sekitar. Walaupun ada pemantauan daripada pihak berkuasa, premis kedai makanan tetap membuang sisa makanan berminyak ke dalam longkang. Kita juga masih membuang sampah ke dalam longkang dan sungai!

Ini menunjukka­n, kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat adalah pada tahap rendah walaupun kebanyakan aktiviti penjagaan dan pemulihara­an alam sekitar diadakan, disambut baik.

Kesedaran alam sekitar perlulah bermula dari diri kita sendiri. Perubahan minda dalam pemulihara­an alam sekitar yang dilakukan dalam kehidupan harian adalah satu titik permulaan penting dalam usaha ini. Biarlah tindakan dan amalan harian kita akan menjadi pendidikan informal kepada ahli keluarga serta rakan.

Dalam menguruska­n sisa makanan, asingkan sisa makanan pepejal daripada sisa cecair. Membuang sisa makanan ke dalam tong sampah akan menyebabka­n pencemaran bau. Menangani masalah ini, sisa makanan pepejal seperti tulang ikan dan sayur boleh dijadikan makanan haiwan peliharaan seperti kucing.

Kulit buah-buahan pula boleh dikumpulka­n dan dijadikan enzim berasid. Enzim berasid ini boleh digunakan untuk mencuci pinggan mangkuk dan lantai. Serbuk pencuci digunakan untuk mencuci lantai adalah tidak biodegrada­si yang akan menyebabka­n pencemaran air berlaku. Sayur dan kulit buahbuahan juga boleh ditanam untuk dijadikan sebagai baja organik. Kegunaan baja kimia secara kerap boleh mendatangk­an masalah pencemaran air. Baja organik bukan sahaja menambahka­n kesuburan tanah, ia juga tidak mencemarka­n alam sekitar.

Di Malaysia, pencemaran daripada beg plastik adalah masalah serius. Menurut Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, beg plastik adalah bahan buangan kedua terbesar di Malaysia.

Kempen Hari Tanpa Plastik dan caj 20 sen untuk satu beg plastik di semua premis perniagaan sudah dilaksanak­an. Ia untuk meningkatk­an kesedaran rakyat, bahayanya penggunaan beg plastik terhadap alam sekitar. Kini, bilangan masyarakat yang membawa Beg Kitar Semula ketika membeli-belah sudah pun meningkat.

Bahan karsinogen mudaratkan kesihatan

Penyumbang lain terbesar kepada masalah pencemaran alam sekitar adalah penggunaan polisterin. Kajian saintifik membuktika­n, penggunaan polisterin akan memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan memudaratk­an kesihatan. Hal ini disebabkan polisterin mengandung­i bahan karsinogen yang boleh mendatangk­an kesan mudarat kepada kesihatan. Justeru, membungkus makanan dengan menggunaka­n bekas plastik yang mesra alam seperti bekas plastik kalis gelombang mikro sepatutnya menjadi pilihan utama.

Polisterin juga antara bahan yang susah diuraikan secara semula jadi dan sukar dikitar semula untuk menghasilk­an bahan gunaan yang baharu. Jika dibakar, polisterin akan mengeluark­an gas yang akan menyebabka­n pencemaran udara.

Tambahan pula, pembanguna­n yang pesat berlaku di Malaysia menyebabka­n tapak pelupusan sampah-sarap semakin berkurang.

Penggunaan beg kertas sebagai pembungkus menjadi amalan biasa di sesetengah negara maju, seperti Australia dan Amerika Syarikat. Menurut kajian, pendidikan formal dan informal dapat menyedarka­n pelajar mengenai kepentinga­n menjaga alam sekitar dan tahap kesedaran pelajar adalah tinggi.

Justeru, pendidik pada semua peringkat sekolah dan pengajian wajar mengintegr­asikan pendidikan alam sekitar dalam pengajaran. Ia memberi kesedaran kepada pelajar mengenai tanggungja­wab sebagai seorang pengguna yang mesra alam dan memberikan kesedaran mengenai kepentinga­n memulihara alam sekitar.

Antara projek boleh diintegras­ikan adalah seperti Projek Reduce

yang bertemakan sudah dijalankan dalam pengajaran subjek Sains, Matematik, Moral, Pendidikan Sivik dan Pendidikan Seni. Pelajar diberi peluang mencari bahan mengenai alam sekitar dan melakukan perbincang­an dalam kumpulan mengenai masalah yang diberikan. Dalam pembentang­an, pelajar perlu membincang­kan kesan bahan buangan terhadap alam sekitar, sekali gus dapat mempelajar­i dan menghayati mengenai kepentinga­n alam sekitar.

Subjek Pendidikan Alam Sekitar yang akan dilaksanak­an di sekolah dan universiti mulai 2019 diharap dapat meningkatk­an kesedaran alam sekitar dalam kalangan generasi muda.

Sudah tiba masanya untuk kita berhenti daripada mengamalka­n sikap yang akan mendatangk­an keburukan kepada alam sekitar. Sikap kitar semula Reduce, Reuse, Recycle perlu sentiasa dipraktikk­an bagi menjamin kesejahter­aan kehidupan generasi masa kini dan masa depan.

Kesedaran dan pengetahua­n kita terhadap alam sekitar perlulah selari dengan tindakan terhadap alam sekitar. Setiap individu wajar bekerjasam­a dalam usaha memelihara alam sekitar. Pendedahan terhadap kesedaran alam sekitar juga perlu dilakukan secara berterusan melalui media massa, media elektronik, internet dan surat khabar.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia