Berita Harian

Pahang tolak aksi Piala AFC

Tok Gajah mahu fokus kepada saingan Liga Malaysia

- Oleh Asrol Awang dan TN Alagesh

Pahang menolak tawaran untuk beraksi pada kejohanan Piala AFC 2018, dan memilih untuk fokus sepenuhnya terhadap liga tempatan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) Norlia Abdul Manaf berkata, mereka ditawarkan untuk menyertai Piala AFC menggantik­an Kedah, menerusi surat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertarikh 9 November lalu.

Bagaimanap­un katanya, tawaran itu ditolak menerusi surat balasan bertarikh 14 November.

Akhiri spekulasi

“Keputusan itu adalah untuk memberi sepenuh perhatian kepada Liga Malaysia musim 2018,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Pengesahan PBNP itu menamatkan spekulasi skuad Tok Gajah menggantik­an juara Piala FA, Kedah selepas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) gagal melepasi syarat pelesenan yang ditetapkan AFC.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan bersama dengan Perkongsia­n Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menawarkan Pahang beraksi pada Piala AFC 2018.

“Keputusan itu dilakukan selepas KFA gagal mengemukak­an penyata kewangan beraudit,” kata Hamidin.

Berdasarka­n pencapaian musim ini, Pahang menduduki tempat kedua Liga Super dan naib juara Piala FA.

Kali terakhir skuad Tok Gajah tampil pada Piala AFC 2015, sebelum tersingkir pada suku akhir.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia