FELCRA kaji hasilkan produk berasas alga
FELCRA Bhd sedang mengkaji cadangan untuk menceburi sektor pertanian bioorganik berasaskan produk lumut air atau alga secara komersial dengan menggunakan teknologi tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, alga itu akan dihasilkan daripada bahan buangan daripada kilang kelapa sawit dan diproses untuk dijadikan produk kesihatan, khususnya makanan tambahan.
Beliau berkata, pihaknya memerlukan tempoh sekurang-kurangnya setahun bagi membuat kajian secara terperinci dari pelbagai aspek berkaitan dengan industri alga secara komersial.
(gambar) Jawatankuasa Teknikal
“Kami akan membentuk Jawatankuasa Teknikal mengenai perkara ini bertujuan untuk memperhalusi pelbagai perkara terutamanya pemprosesan produk kesihatan serta strategi pemasaran.
“Kami juga yakin sasaran untuk menghasilkan produk makanan tambahan berasaskan alga akan menjadi kenyataan pertengahan tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pertukaran memorandum persefahaman (MOU) dengan Algaetech International Sdn Bhd untuk penghasilan produk berasaskan alga, pada Forum Ekonomi Islam Dunia Ke-13 (WIEF-13) di Kuching, semalam.
Majlis berkenaan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam serta Pengerusi Bersama WIEF ke-13, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, pertukaran MOU dengan Algaetech Internationl Sdn Bhd itu membabitkan kerjasama dalam bidang pembangunan dan pengkomersialan hasil buangan kelapa sawit.
Kerjasama itu, katanya turut membabitkan perniagaan pengeluaran alga berskala besar sejajar dengan peranan FELCRA yang menjadi peneraju utama industri gedung makanan negara.
Kilang sawit FELCRA
“Projek perintis akan kita laksanakan di kilang sawit FELCRA di Seberang Perak dan akan dikembangkan ke tempat lain selepas kita meneliti hasil dari projek perintis.
“FELCRA mempunyai enam kilang sawit seluruh negara dan empat lagi kilang yang dimiliki secara usaha sama,” katanya.
Sementara itu, 15 lagi pertukaran MOU turut diadakan pada majlis berkenaan.