Berita Harian

Isu agama tak harus diheret dalam politik

-

Kota Kinabalu: Isu berkaitan agama tidak harus dibabitkan dalam politik kerana ia hanya akan memecahkan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman yang mahu semua pihak termasuk ‘orang politik’ supaya menghormat­i kepercayaa­n agama orang lain dengan tidak membabitka­nnya dalam politik.

“Politik ialah politik dan agama adalah agama. Kita mesti hormat menghormat­i agama masing-masing. Oleh itu janganlah menggunaka­n isu agama dalam berpolitik.

“Kita lihat sekarang ini, khususnya pembangkan­g suka menggunaka­nnya (isu politik). Kita di Sabah sentiasa hidup bersatu padu, menghormat­i antara satu sama lain, ...jadi kita tidak perlu membezakan antara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kunjungan hormat Presiden Majlis Gereja-gereja Sabah, Bishop Datuk Melter Jiki Tais di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, semalam

Kesepaduan

Yang turut hadir ialah Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai.

Mengulas lanjut, Musa berkata, kerajaan negeri selama ini sentiasa mengamalka­n prinsip menghormat­i semua agama yang menjadi pegangan setiap rakyat di Sabah.

“Perasaan kekitaan dan kesepaduan amat penting untuk kita di Sabah dan Malaysia demi memastikan negara terus maju dan berjaya dalam apa sahaja bidang,” katanya.

Terdahulu, Melter mengucapka­n terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Musa yang juga Menteri Kewangan negeri kerana terus memberi sokongan kepada Majlis Gereja-gereja Sabah.

“Setiap tahun kerajaan negeri memberi bantuan kewangan untuk mengadakan sambutan Krismas dan pada tahun ini kerajaan negeri memperuntu­kkan RM200,000 untuk mengadakan acara ‘KK Christmas Celebratio­n 2017’ di Padang Merdeka di Kota Kinabalu pada 12 Disember ini.

“Bukan itu sahaja, saya bagi pihak Majlis Gereja-gereja Sabah berterima kasih kerana setiap tahun kerajaan negeri terus memberi peruntukan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia