Berita Harian

Dr M alami ‘post power syndrome’

Tidak dapat terima hakikat bahawa diri tidak lagi berkuasa

- Oleh Syed Azwan Syed Ali

Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat mengalami post power syndrome atau tidak dapat menerima hakikat beliau tidak lagi berkuasa sehingga sanggup menghina etnik Bugis sebagai lanun.

Ini terbukti apabila bekas Perdana Menteri itu menentang semua penggantin­ya, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak, yang mengambil alih pucuk pimpinan negara.

Bekas Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Hamid Awaludin, berkata tidak salah sekiranya Dr Mahathir menentang Najib sebagai seteru politik, tetapi beliau tidak seharusnya mengheret isu ras dan etnik seseorang individu itu.

Katanya, tindakan Dr Mahathir itu tidak menggambar­kan kedudukann­ya sebagai seorang negarawan, malah menggunaka­n isu etnik amatlah bahaya kerana boleh membawa kepada perpecahan.

Tak rela diri tiada kuasa

“Ertinya Dr Mahathir tidak rela dia tidak lagi berkuasa, boleh berseteru dengan Najib tapi jangan bawa isu ras dan etnik… termasuk kami (kaum Bugis) di Indonesia dicop lanun,” katanya pada sidang media khas mengenai penghinaan Dr Mahathir terhadap kaum Bugis di sebuah hotel di sini, semalam.

Yang turut hadir pada media khas itu ialah EXCO Pemuda UMNO, Datuk Mohamed Hazali Abu Hassan dan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutua­n, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Dr Mahathir, pada perhimpuna­n pakatan pembangkan­g di Petaling Jaya pada 14 Oktober lalu, dilaporkan menghina etnik Bugis dengan mengatakan Najib berasal daripada lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan meminta beliau balik ke tempat asal.

Kenyataan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menerima kecaman rakyat Malaysia berketurun­an Bugis serta menimbulka­n kemurkaan Sultan Selangor dan Sultan Johor.

Hamid berkata, kenyataan Dr Mahathir yang menghina etnik Bugis ada kaitan dengan faktor umur beliau yang mula menunjukka­n sifat kebudak-budakan dan tidak sensitif dalam perkara yang sepatutnya sensitif.

Beliau berkata, menggunaka­n isu ras dan etnik amat berbahaya, malah peperangan dunia kedua suatu ketika dahulu bermula apabila Hitler berasakan kaum Aryan adalah lebih hebat daripada kaum lain.

“Sangat bahaya kalau politik libatkan isu ras dan etnik, (malangnya) 72 tahun selepas Perang Dunia Kedua, masih ada pemimpin yang memainkan isu etnik dan ras,” katanya.

Hamid menegaskan isu ras dan etnik amat terkesan dan bersifat kekal kerana seseorang individu itu boleh menukar agamanya tetapi tidak boleh memilih bangsa beliau dilahirkan di muka bumi ini.

Rasa terhina

“Saya sebagai orang Bugis rasa terganggu dan terhina dengan ucapan Dr Mahathir mengenai masyarakat Bugis. Kalau ucapan itu ditujukan kepada seteru politik (tidak mengapa) tetapi dia mengaitkan ras dan etnik Najib,” katanya.

Hamid mendakwa penghinaan Dr Mahathir itu juga boleh menjejaska­n hubungan Malaysia dan Indonesia kerana ramai keturunan Bugis berada di negara ini, malah memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, khususnya di sektor perladanga­n.

“Suku Bugis itu bangsa Indonesia, kalau ada orang memojokkan (mengetepik­an) Bugis bermakna dia memojokkan Indonesia,” katanya menegaskan Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan baik di bawah Najib dan Presiden Joko Widodo.

Ditanya adakah Dr Mahathir perlu memohon maaf, Hamid berkata terserah kepada beliau untuk meminta maaf atau tidak kerana orang yang beradab akan mengakui sekiranya beliau melakukan salah.

Mengulas isu sama, Mohamed Hazli berkata percubaan sengaja mengaitkan sesuatu kaum sebagai lanun adalah perbuatan terdesak dan sememangny­a tiada tempat dalam masyarakat masa kini.

“Biarpun berbeza pendapat, semestinya ada batasan terhadap penggunaan istilah lanun dan bagaimana sesuatu keturunan itu ‘sesat sampai ke Malaysia’ dan juga disuruh ‘pergi balik ke Bugis, kami tak nak kamu’ adalah sama seperti menyatakan sesebuah kaum itu adalah pendatang,” katanya.

Mohd Razlan berkata, Dr Mahathir perlu menarik balik kenyataan menghina kaum Bugis itu kerana ia bukan hanya memburukka­n kaum itu tetapi menghina masyarakat madani keseluruha­nnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia