Berita Harian

2 lelaki didakwa jual darjah kebesaran palsu

Perdaya lapan mangsa untuk sertai KDKP yang tidak berdaftar

- Oleh Mohamed Farid Noh

Dua lelaki didakwa atas lapan pertuduhan di Mahkamah Majistret semalam berikutan memperdaya mangsa membayar wang bernilai lebih RM100,000 bagi mendapatka­n darjah kebesaran palsu, antara Ogos sehingga Oktober lalu.

Dituduh secara berasingan

Dua tertuduh berkenaan, Low Leong Huat, 57, dan Lim Kuan Hau, 40, yang juga ahli perniagaan, bagaimanap­un mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan berkenaan selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

Kedua-dua tertuduh didakwa secara berasingan dan bersama-sama memperdaya­kan lapan individu berasingan bagi menyertai Kelab Darjah Kebesaran Pahang (KDKP) yang sebenarnya tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sehingga mangsa menyerahka­n wang yang bernilai RM105,600 kepada mereka.

Mereka melakukan semua kesalahan berkenaan di Taman Sri Jaya, di sini, antara Ogos dan September tahun ini.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Majistret menetapkan jaminan RM21,000 ke atas Leong Huat manakala RM31,000 ke atas Kuan Hau dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Disember depan bagi pengurusan kes.

Kes berkenaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya, Mustaqim Sukarno dengan Peguambela, M Vinodaran, mewakili Kuan Huat, manakala Leong Huat tidak diwakili.

Terdahulu, Leong Huat yang memakai kemeja T kelabu dan Kuan Hau pula memakai kemeja T biru yang dikawal ketat polis tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8 pagi.

Pekarangan mahkamah juga dipenuhi dengan ahli keluarga serta rakan tertuduh sejak awal pagi bagi mengikuti pendakwaan kes berkenaan.

 ?? [FOTO ADI SAFRI/BH] ?? Leong Huat (kanan) dan Kuan Hau dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat, semalam.
[FOTO ADI SAFRI/BH] Leong Huat (kanan) dan Kuan Hau dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia