Berita Harian

Strategi wujud ketelusan, nilai lebih baik

Langkah bolehkan tumpu perniagaan teras, perkukuh modal

- Oleh Nasuha Badrul Huzaini

Penyenarai­an tiga syarikat khusus bebas iaitu Sime Darby Bhd, Sime Darby Property Bhd dan Sime Darby Plantation Bhd di Pasaran Utama Bursa Malaysia akan memberi manfaat dan mewujudkan nilai lebih baik kepada entiti terbabit.

Pengerusi Sime Darby Property, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan ketiga-tiga syarikat yang disenaraik­an secara berasingan itu dapat memberikan tumpuan yang lebih baik terhadap perniagaan teras masing-masing.

Beliau yang juga Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), iaitu pemegang saham terbesar Sime Darby berkata, melalui penyenarai­an tiga entiti secara berasingan, peruntukan modal lebih baik dari segi kewangan dan sumber manusia boleh disalurkan, manakala ketelusan prestasi pengurusan setiap entiti menjadi lebih baik.

Penciptaan nilai

“Pihak pengurusan ketiga-tiga syarikat kini perlu mencapai sasaran yang ditetapkan, selain perlu mengukur tahap prestasi mereka berbanding pesaing lain dalam industri masing-masing.

“Dengan langkah ini, kami percaya penciptaan nilai akan berlaku dan sejak pengumuman pengasinga­n dibuat, kami melihat harga saham dan modal pasaran semakin meningkat.

“Secara keseluruha­nnya, dari perspektif pemegang saham dan perspektif PNB yang juga adalah pemegang saham utama dalam ketiga-tiga syarikat berkenaan, kami gembira kerana nilai sudah dicipta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyenarai­an syarikat terbabit di Bursa Malaysia, di Kuala Lumpur, semalam.

Pada permulaan dagangan semalam, saham Sime Darby meningkat 55 sen kepada RM2.40 berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.85. Pada jam 5 petang, sahamnya ditutup pada RM2.35.

Saham Sime Darby Plantation yang dibuka pada RM5.60 untuk meningkat satu sen berbanding harga IPO pula ditutup lebih rendah pada RM5.01 sen.

Sementara itu, Sime Darby Property memulakan dagangan pada RM1.30 atau diskaun 20 sen daripada harga IPO, sebelum ditutup pada RM1.20 pada sebelah petang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia