Berita Harian

Laba sembilan bulan BIMB meningkat

-

BIMB Holdings Bhd mencatatka­n keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBZT) 10.1 peratus lebih tinggi kepada RM732.2 juta bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2017, berbanding RM665.1 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

BIMB dalam kenyataann­ya berkata, prestasi kukuh itu disokong oleh Pulangan ke atas Ekuiti Tahunan (ROE) pra cukai tahunan sebanyak 20.9 peratus dan ROE selepas cukai sebanyak 15.2 peratus, sekali gus mengatasi kebanyakan peserta industri lain.

“Keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham meningkat 12.1 peratus atau RM50.6 juta kepada RM470.2 juta bagi tempoh dikaji.

“Aset bersih sesaham naik kepada RM2.81 pada September 2017 berbanding RM2.44 pada Disember 2016 dan pendapatan sesaham meningkat kepada 28.81 sen berbanding 26.47 sen pada tempoh sama tahun 2016,” menurut kenyataan itu.

Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2017, dividen interim satu peringkat sehingga RM229.3 juta atau 14 sen sesaham dicadangka­n oleh Lembaga Pengarah BIMB.

Keuntungan Bank Islam

Sementara itu, anak syarikat utamanya, Bank Islam merekodkan PBZT sebanyak RM591.3 juta bagi tempoh kajian, menokok 9.2 peratus atau RM49.9 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Bank terus mengekalka­n pertumbuha­n pembiayaan­nya dengan aset pembiayaan bersih mencatat pertumbuha­n tahun ke tahun sebanyak 8.0 peratus atau RM3 bilion untuk mencapai RM40.1 bilion pada akhir September 2017.

“Bank Islam dijangka terus memberi tumpuan kepada 3D - deposit; strategi pertahanan dan pendigital­an. Bank juga akan terus menguruska­n kecairan dan menggunaka­n modal secara cekap dalam operasinya,” menurut kenyataan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia