CIMB MOZEK pupuk integrasi, perpaduan pelajar
CIMB Group Holdings Bhd memperluaskan inisiatif tanggung jawab sosial korporatnya (CSR) menerusi pelancaran CIMB MOZEK, program perkhemahan musim cuti sekolah yang bertujuan memupuk kepelbagaian dan keterangkuman budaya.
Program yang dilaksanakan menerusi Yayasan CIMB dengan kerjasama Teach For Malaysia (TFM) itu disempurnakan perasmiannya oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Scientex, di Johor Bahru.
Yang turut hadir, Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak; Pengarah Pendidikan negeri, Shaharuddin Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin.
Nazir yang juga Pemegang Amanah Yayasan CIMB berkata, program CIMB MOZEK yang dilaksanakan dalam bahasa Inggeris itu bertujuan untuk memupuk integrasi dan perpaduan dalam kalangan pelajar sekolah.
Katanya, SMK Taman Scientex adalah sekolah perintis bagi itu yang diadakan dari 26 November hingga 14 Disember ini, yang membabitkan 543 pelajar dan 59 guru.
“CIMB Mozek adalah inisiatif yang menggalakkan kepelbagaian dan keterangkuman budaya yang ada dalam negara ini.
Kejayaan masa depan
“Bagi menjayakan matlamat program ini, ia dilaksanakan pada peringkat sekolah menengah yang membabitkan pelajar berbilang latar belakang, sebelum diperluaskan kepada murid sekolah rendah pada masa depan,” katanya.
Terdahulu, Permaisuri Johor bertitah, setiap anak perlu diberikan didikan yang baik sejak kecil dan bukan sekadar memberi fokus kepada akademik sahaja.
“Didikan yang baik dalam akademik dan nilai murni acuan terbaik untuk masa depan mereka. Kejayaan ini akan turut menjadi kejayaan buat negara pada masa depan,” titahnya.