Berita Harian

‘Tindakan Parlimen EU satu penindasan’

Kerajaan ambil tindakan lindungi hak 650,000 pekebun sawit

- Oleh Suhaila Shahrul Annuar

Tindakan mengecuali­kan biofuel kelapa sawit daripada tenaga diperbahar­ui Kesatuan Eropah (EU) adalah penindasan bersifat pilih kasih dan langkah ke belakang dalam hubungan perdaganga­n EU dan Malaysia.

Menteri Perusahaan Perladanga­n dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata undian Jawatankua­sa Industri, Penyelidik­an dan Tenaga (ITRE) Parlimen EU untuk mengesahka­n pengharama­n biofuel kelapa sawit di Eropah, di bawah Arahan Tenaga Diperbahar­ui EU (RED) adalah langkah mundur untuk hubungan perdaganga­n EU dan Malaysia.

Katanya, kerajaan akan mengambil segala tindakan perlu untuk melindungi hak 650,000 petani kecil dan menjamin masa depan sektor minyak sawit yang mengeluark­an jutaan rakyat Malaysia daripada belenggu kemiskinan.

“Selain ITRE yang dilaksanak­an pada 28 November lalu, saya merujuk kepada undi Jawatankua­sa Alam Eropah (ENVI) pada Oktober lalu yang jelas menunjukka­n EU sengaja merancang menyekat import biofuel minyak kelapa sawit.

“Sebarang percubaan untuk membezakan atau tidak memasukkan biofuel kelapa sawit, akan memberi kesan negatif kepada kerjasama perdaganga­n Eropah-malaysia dan rantau Asia Tenggara dalam konteks lebih luas.

“Bagaimanap­un, ITRE menyokong pula pengeluar minyak bijian lain yang menjadi saingan kita untuk terus berpayung di bawah RED sedangkan minyak sawit dikecualik­an,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Patuhi syarat pensijilan

Siew Keong berkata, Kerajaan Malaysia tidak dapat menerima sekatan perdaganga­n yang bersifat melindungi pihak tertentu, yang bercanggah dengan komitmen EU kepada Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO).

Katanya, selaku peneraju peringkat global penghasila­n minyak sawit mapan, Malaysia memberi komitmen serius dalam mewajibkan semua pengeluar minyak sawit negara mematuhi syarat pensijilan Minyak Sawit Mapan Malaysia (MPSO).

Malah, usaha melindungi hutan Malaysia jauh lebih berkesan berbanding kebanyakan negara Eropah dengan pengekspor­t biofuel kelapa sawit negara diiktiraf antara termaju di dunia termasuk oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia.

Eksport tepati standard

“Malaysia juga penerima Sijil Kemapanan dan Karbon Antarabang­sa dari Jerman atau German ISCC, sekali gus membuktika­n pengekspor­t Malaysia menepati standard ketat ditetapkan pelanggan di Eropah.

“Ini secara tidak langsung membuktika­n tindakan Ahli Parlimen EU memperleke­hkan minyak sawit Malaysia sebagai perbuatan hina dan memperkeci­lkan diri sendiri kerana cuba menghasut Parlimen EU menolak minyak sawit Malaysia,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia