Berita Harian

Majlis pecah tanah projek EDTP bulan depan

-

Johor memaklumka­n majlis pecah tanah pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-johor Bahru (EDTP) di Segamat akan berlangsun­g bulan depan.

Pengerusi Jawatankua­sa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohamad, berkata majlis pecah tanah bagi projek itu sudah dirancang kerajaan Johor di daerah Segamat yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, proses pengambila­n balik tanah dan bayaran pampasan projek berkenaan sudah selesai dijalankan sepenuhnya.

Kerja robohkan setinggan

“Kerja meroboh rumah dikosongka­n setinggan dalam rizab jajaran projek ini masih berjalan dan baki setinggan yang masih ada di tapak ialah 11 rumah, iaitu enam di Kluang dan lima di Johor Bahru.

“Setinggan di daerah Segamat dan Kulai sudah dikeluarka­n sepenuhnya dari rizab kereta api. Surat Setuju Terima sudah dikeluarka­n kepada CRCC-CREC-CCCC Consortium Sdn Bhd (CCCCSB) pada 27 Oktober tahun lalu dengan tempoh pembinaan 48 bulan dan dijangka siap akhir 2020,” katanya menjawab soalan Tan Hong Pin (Dap-mengkibol) berhubung perkembang­an terkini projek EDTP, semalam.

Hasni berkata, tarikh milik tapak bagi projek berkenaan juga pada 1 Disember tahun lalu.

“CCCCSB sedang melaksanak­an kerja pembanguna­n reka bentuk dan mengemukak­an permohonan kepada pihak berkuasa tempatan untuk kebenaran merancang dan permit pembinaan.

“Kerja memuktamad­kan reka bentuk terperinci sedang giat dijalankan dengan kemajuan sehingga September lalu sebanyak 30 peratus,” katanya.

Penceroboh­an Empangan Sembrong

Sementara itu, Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata kerajaan Johor menerusi beberapa jabatan atau agensinya mengambil pelbagai langkah sesuai bagi memastikan penceroboh­an kawasan Empangan Sembrong dapat diatasi atau dikawal.

Beliau berkata, Empangan Sembrong seluas 130 kilometer persegi dan tindakan mengawal penceroboh­an menjadi sukar, selain tanah di situ hak milik Ketua Pengarah Tanah dan Galian (KPTG).

Bagaimanap­un, katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor sudah menjalanka­n langkah mengurangk­an pencemaran punca air di kawasan empangan termasuk kerja pengukuran bagi mengenal pasti sempadan rizab empangan bagi pemasangan pagar keselamata­n.

“Pagar keselamata­n dipasang secara berperingk­at dan di Empangan Sembrong, pagar sepanjang 1.6 kilometer sedang dipasang dan dijangka siap April tahun depan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia