Berita Harian

Aziz mahu lebih serius

Cuti setahun, fokus kembang kerjaya muzik di negara ini

- Oleh Syarrizuan Abdul Rashid

Anak muda ini mendapat perhatian peminat muzik tempatan sebaik saja muncul dengan single berjudul Senyum, dua tahun lalu. Ketika itu, nama Aziz Harun mula mekar dan diterima baik oleh peminat muzik di sini.

Meskipun laluan perjalanan kerjaya nyanyianny­a dilihat berkembang dengan baik, dia bagaimanap­un seakan-akan tidak menggunaka­n ruang yang ada itu sebaik mungkin.

Justeru, ketika penyanyi ini hadir ke Balai Berita, baru-baru ini, persoalan mengenai itu turut ditanya HIP kepada empunya diri.

“Saya akui memang rencana kerjaya saya agak terbatas sebelum ini kerana masih belajar. Saya perlu memberikan perhatian terhadap pelajaran.

“Saya juga bukan tidak ambil serius soal nyanyian, namun hakikatnya saya perlu berulang-alik antara Brunei dengan Malaysia kerana perlu menghabisk­an pengajian peringkat A-level,” katanya.

Dapat lampu hijau keluarga

Aziz berkata, pengajian peringkat sekolahnya sudah tamat Oktober lalu dan kini, dia mahu memberikan tumpuan sepenuhnya untuk mengukuhka­n nama sebagai penyanyi di negara ini.

Lantaran itu, Aziz bakal bercuti selama setahun dan menetap di Malaysia bagi memberikan fokus terhadap kerjaya muzik yang sudah diceburiny­a sejak kecil.

“Saya mula mencuba nasib di Malaysia sekitar 2015 dan sangat bersyukur apabila mendapat maklum balas yang amat baik.

“Cuma, pada waktu itu, seperti yang saya katakan tadi, saya masih bersekolah. Syukur, kini keluarga sudah memberikan lampu hijau untuk saya serius dalam bidang ini,” katanya teruja.

Single baharu kena dengan jiwa

Aziz berkata, bermula pada November, dia menetap di negara ini dan memulakan rangka promosi untuk single terbaharu berjudul Jangan, hasil karya Romeo dan The Faithmen.

Katanya juga, lagu terbabit agak berbeza berbanding single sebelum ini dari segi susunan muzik kerana ia menggambar­kan jiwa sebenarnya yang lebih cenderung kepada genre R&B.

Menurutnya, lagu berkenaan menjadi pertaruhan terbaru selepas Senyum, Beautiful dan Mama, yang sebelum ini dihasilkan atas jenama dirinya sebagai penyanyi di negara ini.

“Saya akui lagu Mama yang menampilka­n saya dan Elizabeth Tan agak kurang dimainkan kerana ketika itu saya tidak dapat mempromosi­kannya dengan sempurna.

“Kini, saya mahu menebus kembali semua itu menerusi single terkini dan saya akan melakukan yang terbaik supaya ia dapat diterima sebagaiman­a peminat menggemari lagu Senyum,” katanya.

Mahu sambung belajar

Walaupun kini memberikan tumpuan terhadap kerjaya nyanyian, Aziz sebenarnya pada masa sama sedang mencari institusi pengajian terbaik bagi menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Aziz, 19, mengakui ada antara rakan sekelasnya sudah memulakan pengajian di universiti, tetapi dia tetap dengan keputusan untuk memberi ruang kepada kerjaya sebelum bergelar mahasiswa.

Dia juga bercadang melanjutka­n pelajaran dalam bidang Pengurusan Ekonomi di University of Essex, United Kingdom (UK). Bagaimanap­un, Aziz terfikir untuk mencari pusat pengajian tinggi di Kuala Lumpur dalam bidang sama.

“Memikirkan kerjaya yang baru hendak bercambah di sini, saya ada juga mencari pusat pengajian tinggi yang menawarkan bidang sama dan mempunyai program berkembar dengan universiti di UK.

“Saya belum membuat keputusan sama ada ingin meneruskan pengajian di Malaysia atau UK. Kedua-duanya mempunyai kelebihan untuk saya.

“Kalau belajar di sini, saya boleh tumpukan pada kerjaya juga. Tetapi di UK, saya boleh belajar lebih banyak mengenai genre muzik dan pembikinan lagu,” katanya. Berasal dari

Brunei Darussalam.

Anak bongsu

daripada enam beradik.

Klip video Senyum

nyanyianny­a ditonton hampir 3 juta kali di Youtube dalam tempoh dua tahun. Kakaknya, Tharwana, pernah tular selepas menyanyika­n lagu Knock Knock nyanyian asal Elizabeth Tan.

 ?? [ FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM / BH ] ??
[ FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM / BH ]
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia