Berita Harian

Peluang wakil negara mara separuh akhir

- Oleh Fabian Peter

Kuala Lumpur: Kedua-dua trio boling wanita negara sudah semakin menghampir­i tempat ke peringkat separuh akhir Kejohanan Boling Dunia di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) selepas menamatkan saingan blok pertama semalam.

Kecemerlan­gan mereka itu bagaimanap­un gagal diikuti gandingan lelaki negara yang masih perlu meneruskan aksi sambil memastikan tidak banyak melakukan kesilapan. Hanya empat teratas bagi setiap kategori layak ke separuh akhir, Ahad ini.

Selepas tamat tiga permainan pertama, Natasha Roslan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman muncul wakil negara terbaik apabila menduduki tempat keenam dengan 1,877 jatuhan pin.

Satu lagi gandingan negara, Sin Li Jane, Esther Cheah dan Shalin Zulkifli pula di tangga ketujuh dengan 1,869 jatuhan pin.

Trio Indonesia, Putty Armein, Sharon Limansanto­so dan Tannya Roumimper mendahului senarai dengan 1,963 jatuhan pin, diikuti wakil AS, Shannon O'keefe, Danielle Mcewan dan Kelly Kulick (1,910).

Trio lelaki negara turut cemerlang

Trio Jerman, Janine Gabel, Tina Hulsch dan Patricia Luoto memulakan blok kedua di tangga ketiga dengan 1,904 jatuhan pin manakala trio Singapura, Cherie Tan, Daphne Tan dan Shayna Ng di tangga keempat dengan 1,893 jatuhan pin.

Pengurus Malaysia, Maradona Chok ketika dihubungi berkata: “Keyakinan kami masih tinggi dan semua wakil negara sedia memberikan saingan kepada sesiapa sahaja. Kami akan berjuang hingga ke penghujung saingan.”

Sementara itu, dalam acara lelaki, Adrian Ang, Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan muncul trio terbaik Malaysia selepas blok pertama dengan menduduki tangga ke-13 (1,857 jatuhan pin).

Trio kedua negara yang dibarisi Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan dan Alex Liew pula mengumpul 1,750 jatuhan pin dan bakal memulakan blok kedua di tangga ke-40.

Wakil Jepun, Daisuke Yoshida, Shogo Wada dan Shusaku Asato mendahului saingan selepas mengumpul 2,018 jatuhan pin.

Sejak kejohanan bermula minggu lalu, Malaysia sudah mengumpul pingat perak menerusi Shalin dan Li Jane dalam acara beregu wanita.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia