Berita Harian

Recurve berpasukan raih gangsa

- Oleh Devinder Singh

Kuala Lumpur: Atlet memanah negara menamatkan kempen Kejohanan Asia di Dhaka semalam dengan pingat gangsa yang dimenangi menerusi acara recurve berpasukan lelaki.

Ia adalah pingat pertama Malaysia dalam acara recurve berpasukan pada kejohanan dwitahunan itu sejak Khairul Anuar Mohamad memenangi emas individu sebelum meraih satu lagi emas dalam acara berpasukan pada 2011.

Ketika kejohanan sama di Bangkok dua tahun lalu, Malaysia turut membawa pulang gangsa tetapi dalam acara compound berpasukan wanita.

Persatuan Memanah Kebangsaan hanya menghantar pemanah recurve lelaki di Dhaka dengan trio Haziq Kamaruddin, Akmal Nor Hasrin dan Khairul tidak mengecewak­an.

Selepas tewas 0-6 di tangan Korea Selatan di separuh akhir, Malaysia bangkit menewaskan China 5-3 untuk memenangi gangsa.

Akmal gagal raih gangsa

Pada pusingan awal, skuad Malaysia mengalahka­n Filipina dan Jepun masing-masing dengan keputusan 5-1.

Akmal yang muncul pemanah recurve terbaik Malaysia sepanjang tahun ini, berpeluang memenangi satu lagi gangsa tetapi tewas 4-6 di tangan atlet China, Wang Dapeng, semalam.

Selepas kedudukan seri setakat set keempat, Dapeng memenangi set kelima 29-28 untuk menghalang Akmal daripada membawa pulang gangsa.

Pada separuh akhir, Akmal ditewaskan juara dunia 2013 dari Korea Selatan, Lee Seungyeun dengan keputusan 3-7.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia