Berita Harian

Chong Wei terajui Malaysia

Norza sahkan BAM hantar pasukan terkuat saingan di Alor Setar

- Oleh Fabian Peter

Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akan mengetuai barisan pemain negara pada saingan badminton Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, pada 6 hingga 11 Februari ini.

Di sebalik menyatakan dia mahu berehat selama tiga bulan selepas menghadapi Final Siri Super Dunia Persekutua­n Badminton Dunia (BWF) di Dubai bulan depan, Chong Wei dijangka kembali lebih awal untuk membantu Malaysia layak secara merit ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Mei tahun depan.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengesahka­n perkara itu selepas melancarka­n Liga Remaja Kebangsaan Airasia-bam di pejabat Persatuan Badminton Selangor, semalam.

"Saya faham Chong Wei mahu meluangkan masanya dengan keluarga selepas Final Siri Super Dunia. Kami menghormat­i hasratnya itu. Apa yang dimaksudka­n itu ialah dia akan berehat daripada menyertai kejohanan terbuka.

“Untuk kejohanan seperti kelayakan Piala Thomas (Kejohanan Berpasukan Badminton Asia), Sukan Komanwel (Gold Coast) dan pusingan akhir Piala Thomas, kami bersetuju Chong Wei mengetuai pasukan,” kata Norza yang tidak mahu Malaysia layak menggunaka­n ‘pintu belakang’ untuk beraksi di pusingan akhir Piala Thomas.

Barisan pemain muda

Pada saingan kelayakan acara berpasukan itu tahun lalu, Malaysia mengambil keputusan untuk menghantar barisan pemain muda dan akibatnya mereka tidak dapat berada di kedudukan empat terbaik yang menjamin tempat layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Thomas.

Skuad negara bagaimanap­un layak berdasarka­n kepada jumlah mata ranking dunia dan kemudian melangkah ke separuh akhir Piala Thomas di Kunshan, China sebelum tewas 2-3 kepada Denmark.

“Kami tidak ke Alor Setar sebagai pasukan pelengkap. Kami mahu muncul pemenang. Untuk itu BAM mengambil keputusan menghantar pasukan terkuat. Kami berharap senarai penuh pemain akan dapat diumumkan Januari tahun depan.

“Perkara sama juga berlaku untuk Sukan Komanwel tetapi tidak seperti Piala Thomas, kami hanya boleh menghantar masing-masing lima pemain lelaki dan wanita ke Gold Coast.

“Kami pasti Chong Wei akan diturunkan sebagai pemain perseorang­an pertama dan berharap sama ada Lee Zii Jia atau Iskandar (Zulkarnain Zainuddin) akan dipilih sebagai perseorang­an kedua,” kata Norza.

Sementara itu, Selangor muncul negeri terakhir dari 15 lokasi menganjur Liga Remaja Kebangsaan untuk menamatkan saingan di peringkat negeri.

Juara daripada setiap negeri akan bersaing pada Grand Final di Kuala Lumpur, tahun depan. Turut hadir pada majlis itu adalah Bendahari BAM merangkap Presiden Persatuan Badminton Selangor, Datuk V Subramania­m.

 ?? [FOTO OWEE AH CHUN/BH] ??
[FOTO OWEE AH CHUN/BH]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia