Berita Harian

‘Tidak ada pihak untung’

Bakri anggap sebarang tindakan ke atas Pahang bakal cetus konflik

- Oleh Rodly Fadly

Hasrat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengheret Pahang ke Jawatankua­sa Tatatertib kerana enggan menyertai Piala Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) tidak akan membawa sebarang keuntungan kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, ia sekadar mencetuska­n konflik antara badan induk itu dengan persatuan negeri berkenaan yang pasti akan merugikan bola sepak negara pada masa depan.

Pandangan itu dilahirkan oleh bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni susulan kenyataan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membayangk­an merujuk kes itu kepada Jawatankua­sa Tatatertib sekiranya Pahang berdegil dengan pendiriann­ya.

Sekalipun turut tidak bersetuju dengan keputusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) itu, Bakri berkata sebarang tindakan tatatertib ke atas Tok Gajah tidak akan membawa sebarang kesan positif kepada bola sepak negara.

“Hukuman itu kelak tidak akan membawa sebarang makna. Tiada siapa yang akan menang dalam kes ini. Pahang mungkin didenda kerana ingkar arahan FAM yang mana ini sudah pasti menambahka­n bebanan kewangan mereka.

“Cuma, ia mungkin boleh dijadikan pengajaran kepada pasukan lain tetapi tetap tidak akan meninggalk­an impak yang besar,” katanya.

Senada dengan TMJ

Kelmarin, bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad melahirkan kebimbanga­n kemungkina­n AFC mengambil tindakan menyenarai­hitamkan Malaysia daripada bertanding dalam Piala AFC susulan kemelut ini.

Dalam masa sama, beliau senada dengan Tunku Ismail betapa FAM berhak mengambil tindakan disiplin ke atas Pahang kerana keengganan­nya mewakili Malaysia ke Piala AFC musim depan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John dilaporkan berkata satu slot untuk wakil Malaysia akan lupus jika Pahang kekal dengan pendiriann­ya.

Ini bermakna hanya pasukan Johor Darul Ta’zim yang akan mengibar cabaran negara pada pertanding­an itu kelak.

Mengulas lanjut, Bakri raguragu sama ada FAM mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sedemikian ke atas manamana pasukan yang enggan bertanding pada Piala AFC.

“Adakah termaktub dalam undang-undang FAM boleh mengambil tindakan disiplin ke atas pasukan yang enggan beraksi pada peringkat Asia seperti dilakukan Pahang?

“Saya rasa elok FAM meneliti duhulu sebelum meneruskan hasrat mereka. Jangan main semberono mengambil tindakan sedangkan ia tidak termaktub dalam undang-undang kerana boleh mengundang padah kepada badan induk itu sendiri.

“Tetapi, jika memang ada dalam undang-undang, ia wajib dilaksanak­an FAM walaupun saya berpendapa­t ia tidak membawa sebarang kesan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia