Berita Harian

FELDA United kena tunggu, TFC II lulus

- Oleh Mohd Fitrie Muhamad

Kuala Lumpur: Status penyertaan pasukan FELDA United FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan, dijangka dapat diketahui dalam tempoh sehari dua lagi.

Perkongsia­n Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) yang mengendali­kan isu itu memerlukan tempoh sedikit masa lagi untuk meneliti dokumen dan pelbagai aspek sebelum menentukan status sebenar skuad The Fighters itu.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam ketika mengesahka­nnya berkata, pihaknya perlu menimbang pelbagai perkara kerana sebarang keputusan bakal menghadirk­an impak besar.

“Oleh kerana keputusan membabitka­n FELDA United FC ini satu hal yang rumit dan mempunyai impak besar, lembaga pengarah meminta sehari atau pun dua hari lagi.

“Permintaan ini bukan disebabkan dokumen dari FELDA belum cukup. Tidak ada apa lagi yang kami minta daripada FELDA sebaliknya hanya berkisar kepada kami sendiri untuk menilai dan buat keputusan,” katanya di sini, semalam.

Penstruktu­ran semula T-team lulus

Sebelum ini, Ketua Jurulatih FELDA United, B Sathianath­an mengakui bimbang mengenai kedudukan skuad The Fighters susulan kegagalan kelab itu mendapatka­n lesen untuk beraksi di Liga Super musim depan.

Berikutan itu, kelab terbabit dijangka diturunkan ke Liga Perdana.

Dalam pada itu, Ramalingam mengesahka­n permohonan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) melakukan penstruktu­ran semula T-team dengan menjadikan kelab berkenaan sebagai pasukan sokongan negeri dan dikenali sebagai Terengganu FC II (TFC II) sudah diluluskan secara bersyarat.

Katanya, kelab berkenaan kini hanya perlu mengemukak­an dokumen kepada pihaknya berhubung soal penstruktu­ran pasukan.

“Pada dasarnya, kita beri kelulusan bersyarat. Namun kami perlu dapatkan beberapa dokumen dari mereka. Ia berkaitan struktur kelab yang menunjukka­n keduadua pasukan di bawah pengurusan sama.

“Saya yakin hal ini bukan berat untuk dilaksanak­an,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia