Berita Harian

Syihan sedia bersaing

- Oleh Devinder Singh

Petaling Jaya: Empat tahun lalu, penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed baru berusia 17 tahun apabila dipanggil untuk menyarung jersi kebangsaan buat kali pertama.

Kini, selepas sembuh daripada kecederaan tangan, dia mahu menggunaka­n sepenuhnya peluang untuk menarik perhatian bukan sahaja jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee malah pengendali Harimau Malaya, Nelo Vingada.

Tangannya patah ketika mewakili Kelantan pada perlawanan persahabat­an Jun lalu dan akibatnya, tidak dapat beraksi pada Sukan SEA selain kelayakan B-23 AFC tetapi Syihan gembira apabila diberi peluang sekali lagi menyarung jersi negara.

Peluang terbaik

“Saya amat berterima kasih kepada jurulatih (Kim Swee) kerana memanggil saya ke kem latihan pusat ini dan ini adalah peluang saya untuk menyarung jersi kebangsaan sekali lagi,” kata Syihan, 21.

“Tangan saya sudah sembuh sepenuhnya dan pergerakan saya langsung tidak terganggu. Proses pemulihan berjalan baik dan saya sudah mampu berlatih dalam keadaan biasa.

“Saya sudah bermain dalam beberapa aksi Piala Presiden dan kecederaan ini langsung tidak terasa lagi.”

Syihan, 21, masih lagi ingat ketika dia dipanggil bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal untuk aksi persahabat­an menentang Palestin pada 2013. Dia masuk menggantik­an Norazlan Razali pada hujung permainan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia