Untung bersih 9 bulan Maybank RM5.39B
Peningkatan 23 peratus disokong persekitaran ekonomi positif
Keuntungan bersih Maybank dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2017 meningkat 23 peratus kepada RM5.39 bilion berbanding setahun lalu, hasil daripada persekitaran ekonomi yang bertambah baik di seluruh rantau ini.
Pendapatan berasaskan dana bersih lebih tinggi, selain penurunan 25.2 peratus kerugian susut nilai bersih mengukuhkan keuntungan sebelum cukai kumpulan perbankan itu sebanyak 20.1 peratus berbanding setahun lalu kepada RM7.17 bilion.
Pendapatan operasi bersih bagi sembilan bulan meningkat 6.8 peratus berbanding setahun lalu untuk mencecah RM17.29 bilion, dengan pertumbuhan diperoleh daripada semua sektor perniagaan, didahului oleh Perkhidmatan Kewangan Komuniti yang mencatatkan kenaikan 8.6 peratus, Insurans & Takaful (2.8 peratus) dan Perbankan Global (0.9 peratus).
Bagi tempoh suku ketiga 2017, keuntungan sebelum cukai Maybank meningkat 19.3 peratus kepada RM2.68 bilion berbanding RM2.24 bilion pada suku sebelumnya dan 9.0 peratus lebih tinggi berbanding RM2.46 bilion pada suku sama tahun lalu.
Deposit kumpulan berkembang
Keuntungan bersihnya dalam suku dikaji pula mencecah RM2.03 bilion, atau 22.2 peratus lebih tinggi berbanding suku sebelumnya dan 12.9 peratus berbanding suku sama tahun lalu.
Pinjaman kasar kumpulan menyaksikan pertumbuhan memberangsangkan, apabila meningkat 5.5 peratus dalam tempoh sembilan bulan kepada RM485.9 bilion, dipacu oleh kenaikan 6.6 peratus operasi Malaysia dan 3.7 peratus operasi antarabangsa.
Ia membantu mengukuhkan pendapatan berasaskan dana bersih sebanyak 11.7 peratus kepada RM12.47 bilion daripada RM11.16 bilion pada September 2016, yang lebih daripada mengimbangi penurunan 4.3 peratus pendapatan berasaskan yuran bersih.
Deposit kumpulan berkembang 2.7 peratus dalam tempoh setahun, dipacu khususnya oleh operasi Malaysia yang berkembang 7.5 peratus dan Indonesia sebanyak tiga peratus.
Kekalkan momentum pertumbuhan
Pengerusi Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin, berkata keputusan yang dicapai mencerminkan bahawa kumpulan mampu mengekalkan momentum pertumbuhan di seluruh perniagaannya, selain di pasaran domestik dalam tempoh sembilan bulan lalu.
Tinjauan untuk baki bulan akan datang, katanya, dilihat terus bertambah baik sekali gus memberikan peluang untuk meninjau segmen pertumbuhan baharu.
“Begitupun, kami akan terus menguruskan perniagaan secara berhemah, memastikan supaya kami berkembang secara bertanggungjawab sambil menguruskan kos dan risiko dalam keadaan amat berdisiplin,” katanya dalam kenyataan.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Farid Alias pula berkata, kemantapan francais dan lembaran imbangan yang berdaya tahan membolehkan Maybank melalui tempoh mencabar beberapa suku kewangan lalu, selain sokongan pelanggan sepanjang perubahan kitaran ekonomi. Pengerusi Maybank