Berita Harian

Projek PPR sediakan kediaman lebih selesa

-

Kunak: Pembinaan 400 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pangkalan di sini, memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk memiliki kediaman sendiri, selain memastikan golongan sasar mendapat bantuan sewajarnya.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) sentiasa komited dengan segala perancanga­n dan pembanguna­n membabitka­n keperluan rakyat, termasuk rumah PPR bagi membolehka­n mereka menikmati kehidupan lebih selesa.

Beliau berkata, projek PPR itu memberi banyak manfaat terutama kepada masyarakat yang sebelum ini tidak memiliki rumah namun kini mampu menduduki kediaman lebih selesa.

Usah terpengaru­h dakyah pembangkan­g

“Pemimpin sentiasa turun padang untuk mendengar masalah rakyat dan sebab itulah, program perumahan mampu milik ini akan diperbanya­kkan kerana kerajaan mahu rakyat terus menikmati kehidupan lebih selesa,” katanya selepas merasmikan PPR Taman Sri Pangkalan, dekat sini, semalam.

PPR Sri Pangkalan yang siap pertengaha­n tahun ini adalah antara langkah kerajaan menyusun penempatan penduduk di daerah ini supaya lebih teratur dengan dianggarka­n 70 peratus penduduk di kawasan rumah setinggan atas air telah berpindah dan memasuki kediaman terbabit.

Sentiasa bantu rakyat

Projek itu mempunyai 400 unit kediaman membabitka­n empat blok dengan setiap unit dilengkapi tiga bilik dan dua tandas.

Terdahulu dalam ucapannya, Musa yang juga Menteri Kewangan negeri, meminta rakyat tidak terpengaru­h dengan dakyah pembangkan­g yang hanya tahu menabur janji kosong dan mengeliruk­an rakyat.

Katanya, wakil rakyat BN bukanlah pemimpin bermusim yang hanya turun padang menjelang pilihan raya seperti didakwa pembangkan­g, sebaliknya sentiasa membantu rakyat.

“Sebagai Ketua Menteri kita bukan hanya duduk di pejabat, sebaliknya turun padang berjumpa rakyat yang telah memberi mandat kepada kita untuk terus membangunk­an negeri ini,” katanya.

Sebelum itu, beliau menghadiri taklimat pembanguna­n daerah Kunak dan Lahad Datu sebelum meninjau projek Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Akuakultur di Kampung Pangi, dekat sini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia