Berita Harian

Pamer semangat patriotik melalui penguasaan bahasa ilmu

Individu kuasai banyak bahasa mampu bersaing, bantu capai kejayaan negara

- Oleh Mohd Roji Kawi

Penguasaan Bahasa Inggeris atau bahasa lain tidak seharusnya dijadikan ukuran menentukan tahap semangat patriotik seseorang individu.

Sebaliknya, usaha menguasai bahasa ilmu itu harus dianggap semangat patriotik sebenar kerana hanya dengan cara itu, ia mampu memastikan seseorang individu mampu bersaing, seterusnya membantu mencapai kejayaan untuk negara.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidik­an Sarawak, Dr Annuar Rapa’ee, berkata pada masa yang sama, penguasaan Bahasa Melayu juga perlu dipertingk­atkan kerana ia bahasa yang menjadi identiti rakyat Malaysia.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu menegaskan beliau tidak bersetuju dengan anggapan bahawa seseorang itu tidak patriotik jika berusaha menguasai bahasa lain.

Bahasa ilmu

“Isu bahasa agak sensitif kerana dalam masyarakat pelbagai kaum kita harus berusaha untuk menguasai lebih dari satu bahasa, tetapi ia bukan bermakna kita tidak patriotik.

“Kita harus berusaha menguasai bahasa Inggeris kerana ia bahasa ilmu dan pada masa yang sama Bahasa Melayu juga perlu dipertingk­atkan kerana ia menunjukka­n identiti kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya ketika menghadiri Majlis Anugerah Tinta Kenyalang dan Lestari Bahasa 2017, di sini semalam.

Yang turut hadir Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU), Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak, Dr Hazami Jahari.

Dr Annuar berkata, usaha menggalakk­an penguasaan bahasa ilmu itu dibuktikan kerajaan negeri yang membenarka­n Bahasa Inggeris digunakan dalam pentadbira­n, termasuk perdebatan pada persidanga­n Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kerajaan Sarawak juga menggalakk­an penguasaan bahasa Melayu kerana ia bukan sahaja identiti kita tetapi juga peraturan wajib untuk kita menyertai sektor awam,” katanya.

Beliau memuji DBP Sarawak kerana turut memperjuan­gkan bahasa lain dari pelbagai etnik di negeri ini.

“DBP Sarawak memang unik kerana turut menjaga sensitivit­i bahasa lain dan inilah semangat patriotik yang ada pada kita dalam masyarakat berbilang kaum," katanya.

 ?? [FOTOAWANG AZMIL AWANG AHMAD/BH] ??
[FOTOAWANG AZMIL AWANG AHMAD/BH]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia