Berita Harian

BN tambah senator, calon wanita

Kerajaan mahu proses politik lebih inklusif, kukuhkan demokrasi

- Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

Senator wanita di Dewan Negara akan ditambah kepada minimum 30 peratus bagi menjadikan proses politik lebih inklusif Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri

BN akan menampilka­n lebih ramai calon wanita berwibawa, berbakat dan berpengeta­huan bertanding pada PRU-14 Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri

Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan bilangan senator wanita di Dewan Negara akan ditambah seiring dengan hasrat kerajaan meningkatk­an penyertaan golongan itu dalam politik.

Perdana Menteri berkata, penyertaan wanita dalam bidang politik negara akan memberi gambaran lebih baik kepada sistem pilihan raya dan menjadikan proses politik lebih inklusif, sekali gus mengukuhka­n demokrasi.

Bagaimanap­un katanya, ia hanya mampu menjadi kenyataan jika kerajaan Barisan Nasional (BN) memperoleh keputusan majoriti dan mandat yang kuat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Perlu ada 30 peratus senator wanita

“Kita boleh cadang menambah kuota di Dewan Negara, iaitu kita perlu ada sekurang-kurangnya 30 peratus senator wanita. Saya berasa amat gembira jika hasrat ini dapat dijayakan.

“Itulah sebabnya saya berharap kita mendapat mandat yang kuat dalam pilihan raya akan datang.

“Kita boleh mulakan lebih ramai wanita dilantik sebagai senator dan mereka akan menunjukka­n kemahiran kepemimpin­an di Dewan Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidanga­n Antarabang­sa Kuala Lumpur 2017 Wanita Dalam Politik (WIPKL 2017) bertema Wanita & Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), Kepemimpin­an dan Kesaksamaa­n Hakiki di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Persidanga­n dua hari yang berakhir semalam disertai pemimpin dan tokoh wanita dari 14 negara, diadakan bersempena Perhimpuna­n Agung UMNO 2017 yang berlangsun­g hari ini sehingga Sabtu ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Wilayah Persekutua­n, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi WIPKL 2017 merangkap Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Ketika ini, hanya 19.35 peratus atau 12 daripada 62 Ahli Dewan Negara yang dipilih Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dilantik Yang di-pertuan Agong adalah wanita.

Lapan daripadany­a mewakili BN, manakala masing-masing satu dari PAS, PKR serta pertubuhan orang kelainan upaya (OKU).

Harap lebih ramai wanita jadi usahawan

Najib turut berharap lebih ramai usahawan wanita daripada semua peringkat generasi wujud bagi memenuhi wawasan kerajaan dalam IR4.0.

Perdana Menteri berkata, kerajaan amat menggalakk­an penyertaan wanita dalam IR4.0 kerana bidang teknologi tinggi hari ini turut mampu dipenuhi golongan itu.

“Saya mahu melihat lebih ramai mereka mencontohi usahawan wanita yang sudah berjaya sebelum ini. Saya percaya ramai usahawan wanita, termasuk dalam kelompok 10,000 usahawan pertama yang mendaftar di platform E-dagang Alibaba,” katanya.

 ??  ??
 ?? [FOTO AIZUDDIN SAAD/BH] ?? Najib bersama Rosmah dan Shahrizat ketika merasmikan WIPKL2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO AIZUDDIN SAAD/BH] Najib bersama Rosmah dan Shahrizat ketika merasmikan WIPKL2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia