Berita Harian

Rampas dadah RM900,000 dalam enam serbuan

-

Johor Bahru: Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM900,000 selepas menahan tujuh individu dalam enam serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini dan Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata dalam serbuan bermula pada jam 8.30 malam hingga 10.15 malam Sabtu lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman yang turut disertai Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman menahan lima lelaki dan dua wanita berusia 26 hingga 52 tahun.

Katanya, turut dirampas syabu seberat 8.2 kilogram (kg), heroin (1.5kg) dan ketamin (605 gram), selain 2,205 pil khayal, 1,101 pil erimin 5 serta 3,950 pil ekstasi.

“Hasil perkongsia­n maklumat risikan daripada Biro Pencegahan dan Kawalan Narkotik (PNSB) Thailand serta Pusat Biro Narkotik (CNB) Singapura ini, polis berjaya menumpaska­n satu sindiket pengedaran dadah antarabang­sa yang didalangi sindiket tempatan di sekitar kawasan Johor dan Kuala Lumpur.

Dadah untuk kegunaan tempatan, eksport

“Hasil maklumat awal, dipercayai dadah berkenaan bagi kegunaan tempatan dan dieksport ke luar negara, selain serbuan di lima lokasi penyimpana­n dadah di sekitar Bandar Dato’ Onn serta Taman Mount Austin dan satu lokasi di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Mohd Kamarudin berkata, nilai keseluruha­n sitaan berjumlah RM915,533.14, termasuk pelbagai wang tunai bernilai RM144,756; pelbagai jenis barang kemas bernilai RM40,777.14 dan tujuh kereta mewah bernilai RM730,000.

Katanya, semua yang ditahan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis Diraja Malaysia, khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik sentiasa berusaha membantera­s sindiket penyeludup­an dan pengedaran dadah di negara ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sepanjang Januari hingga semalam, 15,393 individu ditahan atas pelbagai kesalahan membabitka­n dadah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia