Berita Harian

Berbasikal solo jejak rakan wartawan

Kayuhan pererat hubungan pengamal media

- Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

Bekas wartawan sambilan BH, Che Saad Nordin, 67, membawa misi berbeza apabila memilih berbasikal secara solo untuk menjejaki rakan pengamal media.

Che Saad berkata, misi dinamakan Kayuhan Solo - Jejak Wartawan itu bertujuan merapatkan hubungan di antara pengamal media di seluruh negara.

Katanya, kayuhan itu mendapat sokongan Pertubuhan Kebangsaan Wartawan dan Penulis Melayu Malaysia (PKWPM) yang juga sebagai sebagai salah perancanga­n tahunan pertubuhan berkenaan.

“Dalam misi kali ini, saya ingin menjejak wartawan dan bekas wartawan. Sehingga kini, saya berjaya menjejaki 13 rakan wartawan sepanjang perjalanan.

“Saya akan memuat naik status di laman Facebook saya iaitu saadnordin, mengenai laluan kayuhan. Mereka akan menelefon dan seterusnya kami akan berjumpa.

Selami masalah rakan

“Dari situ, saya cuba menyelami masalah mereka dan kemudian akan diajukan kepada pertubuhan untuk tindakan seperti bantuan kebajikan disalurkan kepada yang memerlukan,” katanya.

Che Saad ditemui BH ketika persinggah­an beliau di Balai Berita NSTP, semalam.

Ketibaan beliau disambut oleh Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzam­an dan Pemangku Presiden Pertubuhan Kebangsaan Wartawan dan Penulis Melayu Malaysia (PKWPM), Datuk Muhammed Ibrahim.

Terdahulu, hari ini Che Saad memulakan kayuhan dari Seremban, Negeri Sembilan ditemani oleh rakannya, Nazrul Fahmi Yusoff, 29.

Seterusnya, mereka akan meneruskan kayuhan hingga ke Kangar, Perlis untuk melengkapk­an kayuhan mengelilin­g Semenanjun­g.

Sehingga kini, Che Saad sudah berkayuh lebih 1,800 kilometer, bermula di Baling, Kedah sejak sebulan yang lalu.

Che Saad berkata, sebelum ini beliau aktif berkayuh secara solo dalam misi berbeza.

Kayuhan cabar emosi

Bagaimanap­un, kayuhan kali ketujuh ini lebih mencabar emosinya apabila dua orang tersayang dalam keluargany­a meninggal dunia ketika beliau dalam kayuhan.

“Ketika sampai di Kota Bharu, Kelantan saya mendapat panggilan, abang saya meninggal dunia manakala ketika di Mersing, mak mentua pula meninggal dunia. Jadi saya terpaksa menangguh dua kali kayuhan untuk pulang ke kampung beberapa hari.

“Namun, saya tidak pernah patah semangat sebaliknya meneruskan kayuhan hingga ke penamat,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia