Berita Harian

Tidak cetus kontrovers­i

Emelda Rosmila selesa jadi diri sendiri, tak rela ‘jual diri’ untuk raih publisiti

- Oleh Zaidi Mohamad

Bergelar anak seni sejak 17 tahun lalu, pelakon, Emelda Rosmila, masih teguh berpegang kepada prinsip diri. Isteri kepada pelakon, Adlin Aman Ramlie, ini enggan terjebak dalam permainan industri hingga sanggup ‘menjual’ diri demi meraih populariti.

Biarpun akur perlu terus relevan dengan kehendak peminat dan industri seni, Emelda enggan hanyut dalam persepsi dangkal, sebaliknya yakin bakat mengatasi segala-gala.

Malah, Emelda menepis dakwaan kononnya perkahwina­n dengan Adlin pada 2009 satu keputusan yang akhirnya menguburka­n kerjaya lakonannya.

Ketika HIP bertemu dengan wanita berusia 37 tahun ini, barubaru ini, Emelda yang mempunyai jenama fesyennya sendiri meluahkan apa yang terbuku di hati.

“Dulu memang ada pihak raguragu kononnya status perkahwina­n menjadi penamat kepada kerjaya seni seseorang artis. Bunyinya seperti kalau kita kahwin, saham akan jatuh. Kata-kata seperti itu selalu kedengaran.

“Saya boleh diibaratka­n sebagai artis yang berdepan dengan senario seperti itu. Kahwin bererti tamatlah ‘riwayat’ artis itu di persada seni,” katanya.

Tawaran lebat sebelum kahwin

Namun, akui Emelda, peminat hari ini dapat menerima seseorang pelakon kerana bakat yang dimiliki, walaupun sesudah berstatus isteri atau suami.

“Namun, bagi industri, saya dapat rasakan jurang itu. Bayangkan, ketika sebelum kahwin, tawaran berlakon datang bertim- pa-timpa.

“Malah, dulu saya pernah menjayakan dua atau tiga kerja lakonan serentak. Sekarang, dengan keadaan semasa, saya reda dan menerima apa saja ketentuan rezeki.

“Jadi, saya salurkan minat kepada bidang lain termasuk dunia fesyen. Justeru, sesekali apabila ada peluang berlakon, dapatlah mengubat rindu yang kian menebal ini,” kata adik ipar kepada artis serba boleh, Datuk AC Mizal ini.

Ikut kata hati

Berbicara soal kecintaan dirinya terhadap dunia seni, Emelda berkata, selain faktor wang, dunia lakonan cukup diminati sejak zaman remaja lagi.

“Setiap tawaran lakonan yang diterima, saya cuba melaksanak­annya dengan sebaik mungkin. Dulu, saya melihat lakonan sama saja seperti bidang kerja lain. Tetapi sebenarnya tidak, ia lebih daripada itu.

“Untuk memastikan diri kita terus kekal dan kukuh di persada lakonan, memang kena ada strategi agar kita sentiasa relevan. Tidak kira apa juga strategi yang dirancang, cukuplah sekiranya ia menjadikan diri kita sentiasa diingati," kata wanita berasal dari Ipoh, Perak ini.

Akui Emelda, beliau sememangny­a tidak pandai untuk mencipta kontrovers­i.

“Saya tak pandai nak buat-buat atau cuba mencipta kontrovers­i, mahupun publisiti murahan. Saya hanya mengikut kata hati dan apa saja yang selesa dengan diri ini.

“Saya juga sedar dalam keadaan industri zaman sekarang, semuanya kena popular, termasuk ada pengikut yang ramai di laman sosial. Jika kriteria itu dipenuhi, barulah ada tawaran berlakon. Soal bakat pula dibiarkan ke tepi dulu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia