Berita Harian

Empat surat Jose Rizal kepada kakak dilelong

-

Kuala Lumpur: Kebanyakan kita biasanya menganggap pejuang kebangsaan Filipina, Jose Rizal sebagai keturunan Melayu, tambahan Tagalog yang bersusur galur daripada bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan Filipina.

Hal itu bukan luar biasa kerana Rizal sendiri turut mengakui beliau adalah orang Melayu meskipun beragama Katolik berikutan faktor sejarah dan perubahan geopolitik dengan kedatangan penjajah Sepanyol yang membawa bersama agama Kristian ke Filipina.

Di ibu kota Filipina, Manila, hujung minggu ini, secebis sejarah kehidupan Rizal yang dihukum mati oleh Sepanyol pada 30 Disember 1896 itu bakal dilelong di Galeri Leon, Makati City.

Laporan oleh Philstar.com menyebut kurator, Lisa Guerrero Nakpil, berkata lelongan itu membabitka­n empat pucuk surat yang ditulis Rizal kepada kakaknya, Maria Mercado Cruz.

Antaranya surat bertarikh 28 Disember 1891 yang menulis mengenai kehidupan; meskipun dunia penuh derita, nikmatilah hanya keseronoka­n. Hidup ini pendek dan kerja keras kita mudah dilupakan. Surat itu ditulis ketika Rizal berada di Hong Kong.

Sementara tiga pucuk surat yang lain masing-masing bertarikh 1895 dan 1896 ditulis ketika Rizal berada dalam buangan di Dapitan, Mindanao.

Antara kandungan surat itu adalah perkongsia­n Rizal mengenai khidmat perubatan yang diberikan kepada penduduk di sana. Surat yang ditulis pada 1896, iaitu menjelang saat-saat akhir sebelum kematianny­a menceritak­an mengenai anak Maria, Morris.

Disimpan waris Maria

Surat dalam bahasa Tagalog itu dijangka dilelong pada permulaan harga 1 juta peso (RM800,000). Meskipun surat yang ditulis oleh Rizal banyak ditemui dalam satu projek memperinga­ti ulang tahun kelahiran beliau pada 1961, inilah kali pertama surat kepada Maria yang dianggap sebagai kakak kesayangan Rizal, dilelong.

Surat berkenaan sebelum ini disimpan oleh waris keluarga Maria.

Yang turut akan dilelong pada majlis itu adalah potret Nelly Boustead, bekas kekasih Rizal. Boustead bertemu Rizal ketika berusia 19 tahun di Paris. Rizal ketika itu sudah berusia 30 tahun. Mereka nyaris berkahwin sebelum Rizal membatalka­n hasrat itu kerana tidak mahu mengikut fahaman agama Boustead, iaitu Protestant.

Menurut sejarawan, Augusto Gonzales, sejarah Filipina pasti berubah jika Rizal mengahwini Boustead.

Rizal berusia 35 tahun ketika menjalani hukuman mati. Beliau terkenal dengan novel Noli Me Tanggere yang ditulis dalam bahasa Sepanyol. Novel berkenaan dilihat mengancam keselamata­n penjajah Sepanyol di Filipina kerana membakar semangat kebangsaan dalam kalangan penduduk tempatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia