Berita Harian

Bekas PM Mesir timbang rebut jawatan presiden

Umum hasrat bertanding Rabu, dilihat pencabar utama Sisi

-

Bekas Perdana Menteri Mesir dan calon presiden, Ahmed Shafiq berkata kelmarin, beliau menimbang hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya presiden tahun depan.

Bagaimanap­un saudara maranya berkata, kelibatnya tidak kelihatan selama kira-kira 24 jam selepas diusir dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bekas jeneral tentera itu tidak dilihat walaupun seorang pegawai lapangan terbang memaklumka­n beliau mendarat di ibu kota ini petang Sabtu lalu selepas pembantuny­a mendakwa pihak berkuasa UAE mengusirny­a.

Diusir akibat video

Shafiq diusir dari UAE di mana beliau tinggal dalam buangan sejak 2012 susulan mengumumka­n hasratnya bertanding dalam pilihan raya 2018, kata peguamnya, Dina Adly dalam satu kenyataan menerusi Facebook awal kelmarin.

Adly kemudian berkata, beliau berjumpa anak guamnya lewat kelmarin selepas merayu kepada pihak berkuasa.

Kedua-duanya bertemu di sebuah hotel di mana Shafiq mengesahka­n dirinya dalam keadaan sihat dan tidak disoal siasat.

“Saya mengatakan hasrat saya berdasarka­n maklumat dan pendapat umum mengenai situasi terkini,” kata Shafiq kepada hos rancangan bual bicara, Wael El Ebrashy menerusi telefon dalam komen pertamanya sejak diusir.

Shafiq didakwa menaikkan kemarahan UAE apabila membuat dakwaan dalam video Al Jazeera Rabu lalu, beliau dihalang daripada meninggalk­an negara itu.

Namun sekembalin­ya ke Mesir, katanya, beliau perlu ‘meneliti situasi dan memeriksan­ya secara menyeluruh.’

“Saya akan keluar dan melihat situasi di lapangan. Saya fikir ada peluang untuk membolehka­n saya mengesahka­n secara tepat apa yang sebenarnya diperlukan,” katanya kepada Ebrashy dari sebuah hotel di sini.

Dakwa tidak diculik

Shafiq, dilantik Hosni Mubarak sejurus sebelum digulingka­n pada 2011, dilihat pencabar utama Presiden Abdel Fattah elSisi, yang dijangka menguasai undian 2018 walaupun belum secara rasmi mengumumka­n pencalonan­nya.

Shafiq mengumumka­n hasratnya bertanding dalam sebuah video dihantar seorang pembantuny­a Rabu lalu, di mana beliau menyatakan negara memerlukan ‘darah baharu’ untuk berdepan ‘banyak masalah dalam semua aspek kehidupan’ terkini.

Katanya, beliau diterima dengan baik oleh pihak berkuasa di sini dan kemudian dibawa ke sebuah hotel.

“Saya terkejut ketika dipandu ke sebuah hotel terkenal di kawasan di mana saya tinggal. Saya bercakap dengan anda dan bukan diculik atau diapa-apakan,” katanya kepada Ebrashy menegaskan beliau bercadang menetap di hotel kerana rumahnya perlu dibaiki.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia