Berita Harian

Halangan sukar F1 di AS

Liberty Media rancang luaskan sukan permotoran di Amerika Syarikat

-

Formula Satu (F1) perlu bersedia mengharung­i jalan sukar apabila pemilik baharunya, Liberty Media merancang untuk mengembang­kan sukan berkenaan di Amerika Syarikat (AS), kata Pengerusi Ferrari, Sergio Marchionne.

Marchionne yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Fiat Chrysler, percaya wujud peluang besar untuk menarik penonton baharu di AS tetapi berkata sejarah sukan elit permotoran dunia itu perlu dihormati.

Liberty yang berpangkal­an di AS dan mengambil alih F1 pada Januari merancang untuk menambah sekurang-kurangnya satu perlumbaan di Amerika Utara dalam kalendar perlumbaan selepas 2018 dan mahu mencipta suasana lebih ‘meriah’ sekitar minggu perlumbaan.

“Saya fikir kata-kata (Pengerusi F1) Chase (Carey) adalah adil dan saya bersetuju kami memerlukan ruang di AS,” kata Marchionne ketika majlis membabitka­n kerjasama Alfa Romeo dan pasukan Sauber, kelmarin yang turut dihadiri Carey.

Hormati maruah

“Memang ada peluang di sana, jika kita lakukan perkara yang betul, untuk menjadikan ia sukan yang relevan dan persekitar­an AS. Jika kita melakukann­ya, saya fikir ia memberi manfaat yang besar kepada sukan ini.

“Tetapi saya meletakkan syarat yang besar mengenainy­a. Kami perlu berhati-hati yang keinginan untuk menjadikan kami lebih menarik kepada peminat di Amerika tidak bermakna kita perlu melupakan semua DNA sukan ini yang mempunyai sejarah yang sudah begitu lama.”

Marchionne menekankan situasi yang berlaku di Grand Prix AS di Litar Austin musim ini apabila pengacara tinju, Michael Buffer memperkena­lkan pelumba secara individu kepada penonton sebelum perlumbaan diikuti dengan kata-kata terkenalny­a ‘Mari bersedia untuk bertarung.’

Marchionne yang memiliki dua kerakyatan Itali dan Kanada berkata maruah sukan itu perlu dihormati.

“Saya fikir kita perlu memelihara­nya, kita perlu memodenkan bagi membuatkan rakyat Amerika mendapatin­ya sebagai relevan "Itulah perkara yang rumit dan saya fikir Chase dan saya perlu bergerak bersama,” kata Marchionne.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia