Berita Harian

Ashley janji saingan sengit

Juara bertahan tak letak sasaran

- Oleh Sukhairi Thani

Pemain remaja negara, Ashley Lau tidak mahu terlalu tertekan menjelang aksi di Kejohanan Golf Antarabang­sa Remaja Kumpulan Ambank-sportexcel, meskipun menggalas tugas selaku juara bertahan.

Kejohanan yang bermula semalam hingga Khamis ini di Glenmarie Golf & Country Club itu sekali lagi bakal menemukann­ya dengan pencabar terdekat, Winnie Ng - naib juara 2016 dan bagi pemain berusia 17 tahun itu, pengalaman di lapangan berkenaan bakal menjadi azimatnya untuk cuba meraih kemenangan.

“Untuk tahun ini, saya tidak mahu meletakkan sebarang sasaran dan hanya mahu mencari kemenangan,” kata Ashley yang berpangkal­an di Australia.

“Saya pernah bermain di sini dan akan menggunaka­n pengalaman yang ada untuk melakukan yang terbaik.”

Pada 2015, Ashley menerima tajaan biasiswa RM129,250 untuk melanjutka­n pelajaran di Akademi Golf Antarabang­sa Hills di Australia, selepas menewaskan juara Sukan SEA Myanmar 2013, Mary Superal dalam kategori perempuan 15 hingga 18 tahun di kejohanan sama.

Atlet kelahiran Sarawak itu sekali lagi mempertaha­nkan gelarannya pada tahun lalu selepas menewaskan rakan senegara, Winnie dengan kelebihan tiga pukulan.

Disertai 109 pemain

“Ramai rakan saya beraksi di sini minggu ini dan saya mahu menikmati permainan,” kata Ashley yang kini sedang memburu gelaran ketiganya di sini.

“Bagi saya, antara pesaing utama kali ini sudah tentunya Winnie dan beberapa lagi pemain dari Thailand.”

Sementara itu, Zubair Firdaus yang turut menerima biasiswa bagi melanjutka­n pelajaran di Akademi Golf Antarabang­sa Hills turut menyimpan hasrat untuk mempertaha­nkan gelarannya dalam kategori lelaki 13 hingga 14 tahun pada edisi ke-12 ini.

“Ini kali pertama saya beraksi di Glenmarie,” kata atlet kelahiran Terengganu itu. “Saya suka lapangan ini dan akan cuba yang terbaik untuk mempertaha­nkan gelaran.

“Cuaca diramalkan hujan minggu ini dan saya harap dapat bermain dengan baik dan meraih keputusan bagus.

Ramai kenalan beraksi di sini dan saya tahu yang saingan akan menjadi sukar tetapi saya berharap dapat melakukan yang terbaik,” katanya.

Edisi ke-12 kali ini menyaksika­n 109 pemain remaja mengambil bahagian – 64 daripadany­a adalah pemain tempatan manakala selebihnya adalah pemain luar negara antaranya dari Thailand, China, Indonesia, Korea Selatan, Australia dan Taiwan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia