Berita Harian

Khairil bangga tampil kali pertama Piala Dunia

- Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Meskipun tampil kali pertama pada siri Piala Dunia di Milton, Kanada, ia langsung tidak mengecewak­an pelumba trek negara, Muhammad Khairil Nizam Rasol walaupun akur terkandas awal dalam acara keirin dan pecut individu.

Pelumba Yayasan Sime Darby berusia 20 tahun itu mengakui aksi siri ketiga Piala Dunia yang berakhir semalam adalah yang pertama bagi dirinya dan masih banyak yang perlu dipelajari.

Pemenang emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu melakarkan 10.721 saat bagi acara pecut individu pada aksi penentuan kedudukan, namun terkandas pada pusingan pertama kepada pelumba tuan rumah, Hugo Barrette.

Bagi acara keirin, Khairil Nizam terkandas awal, termasuk gagal menempatka­n diri dalam kelompok tiga pelumba terbaik pada pusingan repecharge­s.

“Ramai pelumba handalan dunia yang beraksi, ia memberikan pengalaman yang bermakna untuk saya. Banyak perkara yang saya pelajari apabila bersaing dengan mereka.

Tekad bangkit di Chile

“Walaupun saya gagal mara ke peringkat lebih jauh atau menaiki podium, saya dan jurulatih (Junaidi Mohd Nasir) tetap berpuas hati dengan persembaha­n.

“Banyak perubahan yang berlaku. Apa yang dipraktikk­an ketika latihan di Melbourne digunakan sepenuhnya di sini, terutama dalam acara keirin – daripada aspek taktik, kelajuan dan sebagainya,” katanya.

Begitupun, Muhammad Khairil akan meneruskan aksi siri keempat Piala Dunia di Chile penghujung minggu di Chile.

“Saya akan berusaha lebih gigih di Chile nanti. Kalau boleh saya tidak mahu terkandas awal pada penampilan kedua nanti,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia