Berita Harian

Malaysia kekal barisan utama

- Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen menegaskan Malaysia tidak mungkin akan membariska­n pasukan kedua pada saingan Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April depan.

Meskipun keutamaan adalah pada kempen Sukan Asia di Jakarta-palembang, Ogos depan yang menawarkan tiket automatik ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Van Huizen berkata, pihaknya juga tidak boleh mengetepik­an cabaran di Sukan Komanwel.

“Setakat ini, kami belum membuat sebarang keputusan barisan pemain yang akan beraksi di Sukan Komanwel.

“Tetapi, saya ingin tegaskan Sukan Komanwel tetap penting dan untuk itu, mungkin kita akan membariska­n semua pemain terbaik atau sebaliknya.

“Segala-galanya akan bergantung kepada saingan Piala Sultan Azlan Shah yang berlangsun­g sebelum itu. Kita perlu mengambil kira beberapa faktor seperti pemain yang mungkin mengalami kecederaan serta pencapaian pada kejohanan itu,” katanya.

Pilih pemain betul

Menurut Van Huizen, status Malaysian Tigers yang kini berada pada dalam Program Podium, setiap pemain perlu berusaha meraih keputusan terbaik di setiap kejohanan yang disertai.

“Anda mungkin boleh memberi idea supaya menghantar pasukan kedua, tetapi kami sekarang berada pada dalam Program Podium.

“Jadi kami perlu melakukan pemilihan pemain yang betul. Kami tidak boleh menghantar pasukan kedua di Sukan Komanwel kerana pasukan yang beraksi agak kuat,” katanya.

Pada saingan Sukan Komanwel, Malaysian Tigers diletakkan dalam Kumpulan B bersama juara Asia, India; England, Pakistan dan Wales.

Mereka bernasib baik apabila tidak diundi dalam Kumpulan A, yang disertai juara bertahan dan pasukan ranking kedua dunia, Australia serta New Zealand, Kanada, Afrika Selatan dan Scotland.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia