Pakej kerja RM60 juta kepada kontraktor Bumiputera
Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) memperuntukkan 120 pakej kerja kecil bernilai kira-kira RM60 juta kepada kontraktor Bumiputera Gred G2 hingga G4 bagi projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).
Ia menerusi kerjasama Prasarana dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU); Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU), Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
Kerjasama bermatlamat menyediakan peluang kepada kontraktor Bumiputera berkembang dan membangunkan kapasiti masingmasing dalam projek infrastruktur berskala tinggi.
Sehubungan itu, Prasarana mempelawa kontraktor terbabit menyertai sesi taklimat prakelayakan pakej kerja LRT3, yang diadakan di Menara UOA Bangsar, hari ini.
Manfaat peluang terakhir
Pakej kerja terbabit merangkumi bidang seperti kerja permukaan, mekanikal & kejuruteraan, konkrit, seni bina luaran dan kemasan dalaman.
Kontraktor gred G2 hingga G4 merujuk kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang dibenarkan untuk menender projek bernilai tidak melebihi RM500,000 (G2), RM1 juta (G3) dan RM3 juta (G4).
Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Rail and Infrastructure Projects Sdn Bhd (PRAISE), Khairani Mohamed, berkata Prasarana menggalakkan syarikat Bumiputera memanfaatkan peluang terakhir untuk bekerjasama dengan syarikat multinasional terkemuka dalam industri bagi membangunkan rel baharu Lembah Klang, sekali gus membangunkan kepakaran tempatan.
Sumbang kepakaran
“Dianggarkan 45 peratus kontrak diperuntukkan untuk diberikan kepada syarikat Bumiputera, mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan mereka boleh menyumbang dengan setara kepakaran masing-masing kepada LRT3, sebuah projek infrastruktur penting negara,” katanya dalam satu kenyataan.
LRT3 sepanjang 37 kilometer akan menghubungkan dua juga penduduk antara Bandar Utama dan Johan Setia, Klang menjelang 2020.
Jajaran itu yang merangkumi 26 stesen akan disepadukan dengan projek infrastruktur sedia ada dan akan datang.