Berita Harian

Siasat Zaid ikut Akta Hasutan

Didakwa pertikai titah Sultan Selangor tegur Dr Mahathir

- Oleh Fazrik Kamarudin

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, akan disiasat mengikut Akta Hasutan dan Akta Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata polis akan menyiasat kenyataan dikeluarka­n pemimpin terbabit susulan laporan yang diterima.

“Saya dimaklumka­n ada laporan dibuat berkaitan perkara itu. Sudah pasti pihak polis akan jalankan siasatan.

“Untuk kes ini, kita akan menjalanka­n siasatan mengikut Akta Hasutan atau Akta SKMM,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Tabung Prihatin Pengaman anjuran Yayasan Pengaman Malaysia di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, petang semalam.

Kelmarin, Zaid menerusi akaun Twitter miliknya mempertika­ikan titah Sultan Sharafuddi­n yang antara lain menegur bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung kenyataan menghina Bugis.

Zaid dipetik sebagai berkata: “Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tidak ada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar.”

Tunggu proses siasatan

Dalam perkembang­an berasingan, Fuzi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu proses siasatan pihak berkuasa Hong Kong selesai, sebelum memohon ekstradisi terhadap enam rakyat Malaysia yang ditahan di wilayah itu kerana disyaki menyeludup ketamin bernilai RM2 juta pada Rabu lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia