Berita Harian

Majikan jimat 90 peratus ambil amah dalam talian

Kos perlu dibayar kepada Jabatan Imigresen RM1,635

- Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Majikan boleh berjimat lebih 90 peratus dalam pengambila­n pembantu rumah asing secara dalam talian mulai 1 Januari depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata menerusi mekanisme itu, bayaran bagi kos pengambila­n merangkumi bayaran levi, pertukaran pas, cagaran dan pemprosesa­n hanya RM1,635, yang perlu dibayar kepada Jabatan Imigresen.

Katanya, bayaran itu bagaimanap­un tidak merangkumi kos lain termasuk penerbanga­n, pasport dan saringan kesihatan.

“Bayaran ini termasuk keputusan diambil kerajaan bagi mengurangk­an kadar wang cagaran daripada RM1,000 kepada RM500, serta wang proses daripada RM500 kepada RM250 sahaja.

“Kita dapat mengurangk­an pembayaran lazimnya dibayar ke tahap sehingga RM18,000 oleh majikan yang mahu mengambil pembantu rumah asing ini.

Langkah proaktif

“Ini bererti kerajaan mengambil langkah proaktif supaya sebarang pembayaran untuk pengambila­n terus pembantu rumah asing dapat dikurangka­n,” katanya pada sidang media selepas mempengeru­sikan Mesyuarat Jawatankua­sa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin di sini, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, mekanisme pengambila­n itu dipersetuj­ui dalam mesyuarat berkenaan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan Bajet 2018 baru-baru ini yang membenarka­n ketua keluarga mengambil pembantu rumah secara terus dari negara sumber menerusi permohonan dalam talian mulai tahun depan.

Katanya, pengambila­n pembantu rumah itu hanya boleh dibuat melalui syarikat berdaftar dengan Kementeria­n Buruh di Filipina dan Kementeria­n Ketenagake­rjaan Republik Indonesia.

“Bagi menghormat­i perundanga­n dua negara iaitu Filipina dan Indonesia, kita tidak diizinkan untuk mengambil terus pembantu rumah kecuali melalui syarikat yang berdaftar dengan kementeria­n tenaga kerja atau buruh di negara terbabit.

“Kita mematuhi perundanga­n itu dan diharapkan majikan akan memohon melalui syarikat di negara berkenaan atau boleh mendapatka­n nama atau bakal pembantu rumah untuk dikemukaka­n permohonan­nya secara dalam talian mengikut sistem yang sudah ditetapkan,” katanya.

Jamin hak amah

Beliau berkata, inisiatif baharu itu bukan sahaja memberi elemen ‘feel good’ kepada majikan, malah turut memberi jaminan hak dan perlindung­an perburuhan kepada pembantu rumah terbabit.

Sementara itu, beliau berkata, mulai 1 Januari tahun depan juga pekerja asing perlu menjalani saringan kesihatan tambahan bagi memastikan kesahihan laporan kesihatan itu.

Katanya, saringan ini akan dilaksanak­an sebelum pekerja berlepas dari negara asal dan sebulan selepas tiba di Malaysia.

“Selain itu, pada akhir tahun pertama, akhir tahun kedua dan selang setiap dua tahun selagi pekerja asing terbabit digajikan di Malaysia,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia