Berita Harian

BN Kelantan perlu 500,000 undi untuk tawan negeri

-

Kota Bharu: Barisan Nasional (BN) Kelantan memerlukan sekurang-kurangnya 500,000 undi pada Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU-14), bagi membolehka­n parti itu menawan negeri berkenaan.

Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata sehingga ini, pihaknya mempunyai 250,000 pengundi daripada jumlah keseluruha­n sejuta pengundi di Kelantan.

Katanya, UMNO memerlukan tambahan 250,000 hingga 300,000 undi dalam usaha menawan Kelantan pada PRU-14 nanti.

“Justeru, UMNO Bahagian perlu menggerakk­an jentera untuk mendekati pengundi atas pagar supaya mereka cenderung kepada UMNO pada PRU nanti.

“Malah, jentera UMNO juga perlu mendekati pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kakitangan awam bagi mencukupka­n bilangan undi diperlukan.

Dekati pengundi atas pagar

“Kita tidak bimbang ahli UMNO sudah tentu mereka akan memilih BN ketika mengundi nanti. Jadi, kita perlu dekati pengundi atas pagar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis soal jawab anjuran UMNO Kota Bharu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Fatmi Che Salleh dan Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu, Wan Mohd Rasman Wan Hassan.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, tiada perkara yang mustahil memenangi Kelantan pada PRU nanti sekiranya jentera UMNO bekerja kuat.

“Kita yakin sekiranya jentera berusaha bersungguh-sungguh mendekati pengundi terutama pengundi atas pagar, sudah tentu mereka akan cenderung kepada UMNO.

“Melihat kepada situasi sekarang, penduduk Kelantan juga menunjukka­n sokongan kepada UMNO dan mahukan perubahan pada PRU nanti” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia