Berita Harian

Rafizi digesa siasat penganjur Georgetown Festival

-

Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan meminta Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyiasat kerajaan Pulau Pinang, berhubung pemberian tender dan kontrak kepada penganjur Georgetown Festival.

Abdul Rahman berkata, syarikat yang dilantik kerajaan Pulau Pinang itu didakwa mendapat kontrak secara rundingan terus dengan kos RM19 juta untuk tempoh lima tahun.

Katanya, Laporan Audit Negara 2016 mendapati anak syarikat milik kerajaan Pulau Pinang, Georgetown World Heritage Incorporat­ed yang dipengerus­ikan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, terlebih bayar kepada kontraktor terbabit sebanyak RM500,000.

“Saya ingin bertanya fungsi sebenar Invoke. Rafizi mendakwa Invoke adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak memihak dan akan membongkar salah laku mana-mana pihak.

“Bagaimanap­un, saya tidak melihat Rafizi dan Invoke membuat siasatan terhadap apaapa yang dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang mahu pun Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup #Exponegara­ku di Dataran Merdeka di sini, semalam.

Kontrak Georgetown Festival tak ikut kelulusan

Abdul Rahman berkata, Laporan Audit yang dibentang di Parlimen itu turut menemui beberapa isu iaitu kontrak Georgetown Festival tidak mengikut kelulusan lembaga pengarah, tiada penetapan asas kukuh terhadap pelantikan kontraktor terbabit dan ada syarat perjanjian tidak dipatuhi.

Justeru, beliau mahu Rafizi menyiasat perkara itu selepas banyak memfitnah dasar kerajaan.

Terbaru, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dalam sidang media Isnin lalu, membuat kenyataan, kononnya kontrak pelaksanaa­n #Exponegara­ku 2017 diberi kepada abang Abdul Rahman, Noor Raslan Md Dahlan.

Abdul Rahman membuat penafian mempunyai pertalian persaudara­an dengan Noor Raslan pada hari yang sama.

Justeru, Abdul Rahman memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi dengan melantik peguam, Datuk M Reza Hassan daripada Tetuan Raja Riza & Associates.

“Saya harap Rafizi memohon maaf dalam sidang media kedua selepas membuat kesilapan besar dengan menabur fitnah pada sidang media pertamanya.

“Namun dengan sombong dan angkuh, Rafizi mengalu-alukan saman terhadapny­a. Bagi saya, tindakan saman tidak penting, sebaliknya integriti beliau sebagai Ahli Parlimen dan dianggap pemimpin harapan pakatan pembangkan­g.

“Justeru, tindakan saman ini adalah isyarat kepada Rafizi supaya cukuplah dengan pembohonga­n dilakukann­ya sebelum ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia